BUTTERWORTH, 27 Mei – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melawat kapal induk Perancis, FNS Charles De Gaulle (R91) di perairan Selat Melaka, semalam.
Kapal milik Tentera Laut Perancis (Marine Nationale) sedang melakukan pelayaran operasi selama 4 bulan dan kini dalam perairan negara untuk melaksanakan Eksesais MALFRAN 2019. Eks MALFRAN merupakan latihan ketenteraan bilateral yang diadakan diantara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Angkatan Tentera Perancis (French Armed Forces, FAF)
Turut hadir dalam lawatan tersebut adalah Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral Dato’ Muhamad Norazlan Aris TUDM; Assisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan , Mejar Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Bin Tengku Ibrahim; Laksamana Pertama Chan Peng Cheong, Asisten Ketua Staf J7 Markas Angkatan Bersama; dan Pegawai Kanan ATM.
FNS Charles De Gaulle memulakan pelayarannya dari Toulon, Perancis pada 5 Mac lalu. Kapal ini merupakan sebahagian daripada Kumpulan Tempur Kapal Induk Perancis (Carrier Strike Group)Â yang dikenali sebagai Clemenceau Mission.
Pelayaran ini merupakan pelayaran pertama selepas kapal ini menjalani program mid-life refit yang merangkumi tingkat upaya dan penyelenggaraan Program yang berjalan selama 18 bulan itu berakhir pada November 2018. Program tingkat upaya ini akan memanjangkan jangka hayat operasi FNS Charles De Gaulle sebanyak 20 tahun lagi.
FNS Charles De Gaulle merupakan kapal induk (kapal pengangkut pesawat) yang dibina pada tahun 1989 dan berlayar buat pertama kalinya pada tahun 2001. Bilangan anak kapal adalah kira-kira 2,000 orang dan membawa beberapa buah pesawat seperti jet pejuang Rafale-M, pesawat amaran awal E-2C serta helikopter EC-725.
Sepanjang pelayaran, kapal ini telah melaksanakan operasi ketenteraan, Ops Chammal, selama sebulan. Operasi ini merupakan komponen operasi bersama Perancis dengan negara-negara lain bagi menggempur kedudukan kumpulan pengganas Da’esh di Syria dan Iraq.
Selain melaksanakan operasi ketenteraan, FNS Charles De Gaulle turut melaksanakan latihan bersama dengan pasukan tentera laut dengan negara lain. Sebelum tiba di Malaysia, FNS Charles De Gaulle telah melaksanakan latihan bersama dengan aset-aset tentera laut Australia, Amerika Syarikat dan Jepun.
Dalam latihan bersama yang berlangsung di Teluk Bengal pada minggu lalu, FNS Charles De Gaulle dan kapal-kapal lain telah melaksanakan latihan La Perouse yang merangkumi latihan pelayaran, latihan tembakan, serta komunikasi.
Carrier Strike Group Clemenceau Mission dijangka akan berlabuh di Singapura pada akhir bulan ini bersempena Dialog Shangri-La.