Home Pertahanan dan Keselamatan Ceroboh perairan negara: 25 bot nelayan Vietnam di tahan dalam Ops Naga

Ceroboh perairan negara: 25 bot nelayan Vietnam di tahan dalam Ops Naga

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 18 Mei – Sebanyak 25 buah bot nelayan Vietnam dan seramai 123 orang awak-awak ditahan menerusi Operasi Naga 1/2019 (Ops Naga) yang melibatkan rondaan di perairan dan ruang udara negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan  bermula pada 2 hingga 16 Mei lalu.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, penahanan itu adalah hasil pemeriksaan ke atas 266 vesel melalui operasi bersepadu yang diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama beberapa pasukan keselamatan lain.

Menurutnya, Ops Naga membabitkan pengoperasian bersama oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perikanan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” menurut kenyataan itu.

Menurut KDN, dengan kejayaan itu, Ops Naga akan diteruskan bagi memastikan perairan negara tidak terus dicerobohi dan nelayan tempatan dapat menjalankan aktiviti tanpa gangguan dan saingan daripada nelayan asing.

Pada 24 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong, mengumumkan penubuhan pasukan khas bertujuan menangani aktiviti bot nelayan asing, terutama bot nelayan Vietnam daripada terus berleluasa di perairan Malaysia.

Melalui penubuhan pasukan khas berkenaan, dua jawatankuasa kecil iaitu Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-Undang serta Jawatankuasa Dasar dan Perundangan diwujudkan.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menyebut bahawa operasi bersepadu antara APMM dengan Jabatan Imigresen pada Selasa lepas menyaksikan 15 nelayan warga Vietnam ditahan.

Mereka yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal melebihi sijil Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang disyaki palsu.

Satu daripada rumah yang diserbu juga disyaki menjalankan aktiviti sebagai tonto berdasarkan penemuan alat komunikasi radio HF dan kesemua yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963, menurut kenyataan itu.

Related Articles

Leave a Reply