Home Pertahanan dan Keselamatan Setelah 12 minggu diuji, hanya 19 orang layak digelar PASKAU

Setelah 12 minggu diuji, hanya 19 orang layak digelar PASKAU

by Air Times News Network

PEKAN, 30 April – Majlis Penganugerahan Beret Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan Penutup Kursus Komando TUDM Siri 26/2019 telah disempurnakan oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Mutalib Ab Wahab TUDM bertempat di Kem Semarak, hari ini.

Dalam acara tersebut, seramai 19 orang peserta kursus telah dianugerahkan beret biru PASKAU kerana berjaya melepasi cabaran serta latihan asas komando yang berlangsung selama 12 minggu.

Pada peringkat awal, seramai 32 anggota TUDM menyertai kursus tersebut yang bermula pada 29 Januari 2019.

Anak jati Jerantut, Laskar Udara (LU) Muhammad Aidil Affandy Ramli telah dipilih sebagai pelatih terbaik untuk siri kursus kali ini.

Dalam majlis penutup ini, seramai 31 orang anggota PASKAU dan sebuah helikopter EC-725 terlibat dalam demonstrasi serangan ke atas musuh. Demonstrasi tersebut disaksikan oleh tetamu yang hadir.

Buat pertama kalinya, Kursus Asas Komando TUDM pada kali ini dikendalikan oleh Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), Bukit Ibam dibawah Flait Latih PASKAU. Siri kursus sebelum ini dijalankan di Rejimen TUDM Bukit Jugra, Banting.

Sebelum layak bergelar sebagai anggota PASKAU, para peserta perlu mengharungi latihan yang mencabar selama 3 bulan. Latihan yang disediakan adalah bagi menguji ketahanan mental dan fizikal peserta.

Antara latihan yang dijalankan adalah ikhtiar hidup, jalan lasak, kemahiran penyusupan dan taktik khas peperangan hutan.

Turut hadir ke majlis ini Pegawai Memerintah Rejimen TUDM, Kolonel Khalil Mohd Ali, Pegawai Memerintah SLTT, Leftenan Kolonel Jafridin Bahari TUDM, Pegawai-pegawai Kanan TUDM, Jurulatih-jurulatih serta ahli keluarga penuntut.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!