Home Pertahanan dan Keselamatan Gimnasium percuma untuk anggota ATM di Kementerian Pertahanan

Gimnasium percuma untuk anggota ATM di Kementerian Pertahanan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Apr – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bercadang akan membina sebuah gimnasium untuk kegunaan warga ATM dan keluarga bagi mengekalkan budaya hidup sihat, kata Panglima ATM, Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin hari ini.

“Kita akan bangunkan gimnasium untuk semua orang, InsyaAllah kita akan buat pada hujung tahun ini. Semua anggota tentera yang berkhidmat di Kementerian Pertahanan (Mindef) akan menikmati kemudahan gimnasium secara percuma,” kata Zulkifli kepada pemberita selepas merasmikan Program Komuniti Sihat Perwira di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau berkata gimnasium tersebut adalah salah satu cetusan idea daripada pelaksanaan program hari ini yang dijangka akan dibina bersebelahan dengan padang bola Mindef dimana ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Program Komuniti Sihat Perwira ini memberi penekanan kepada aktiviti hidup sihat sebagai kawalan dan pencegahan bagi penyakit tidak berjangkit. Aktiviti dan maklumat yang diberikan bertujuan untuk memperkasakan warga ATM dalam penjagaan kesihatan dan mental bagi memastikan kesiapsagaan anggota tentera berada di tahap yang maksima.

“Langkah pihak Bahagian Perkhidmatan Kesihatan dengan kerjasama Cawangan Provos Marsyal (CPM) dalam menganjurkan program sebegini merupakan satu usaha yang sangat baik. Ia mengetengahkan betapa pentingya elemen kesihatan yang sewajibnya sinonim dengan kerjaya ketenteraan dalam memenuhi kriteria ‘medically fit to deploy’, “ ujar Zulkifli.

Menurut beliau, sebagai seorang tentera, kita sememangnya wajib menjaga dan memastikan kesihatan fizikal dan mental pada tahap optimum, agar berupaya menjalankan norma tugas sebagai ‘Custodian’ kepada keselamatan dan pertahanan negara.

“Justeru, ia memerlukan setiap individu dan pemerintah ketiga-tiga cabang perkhidmatan untuk sentiasa cakna terhadap tanggungjawab memelihara kesihatan.

Lebih-lebih lagi, ia adalah elemen utama dalam memastikan ketumbukan ATM sentiasa bersiap siaga atau ‘fit and deployable at all times’,” tambah Panglima ATM.

Antara pengisian program ini termsuklah Ceramah Komuniti Sihat oleh Bahagian PerkhidmatanKesihatan, Ceramah Anti-Dadah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Forum Kesihatan oleh Pakar Psikiatri ATM, wakil dari CPM ATM dan wakil dari PDRM.

Turut diadakan di Foyer Wisma Pertahanan, Saringan Pemeriksaan Kesihatan, Pameran Kesihatan, Pameran Peralatan Kesihatan dan Pameran berkaitan Anti-Dadah yang mendapat kerjasama dari Jabatan Penjara Malaysia, PDRM serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Hadir sama ke Majlis Perasmian Program Sihat Perwira ialah Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany; Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Dato’ Kamalruzaman Mohd Othman; Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Ackbal Haji Abdul Samad dan pegawai-pegawai serta anggota Kementerian Pertahanan.

Related Articles

Leave a Reply