Home Pertahanan dan Keselamatan 29 pesawat TUDM gegar perasmian LIMA ’19

29 pesawat TUDM gegar perasmian LIMA ’19

by M.Daim

LANGKAWI, 26 Mac – Sebanyak 29 buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menjayakan persembahan udara sempena perasmian Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa 2019 (LIMA ’19) yang diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pagi tadi.

Pameran LIMA ’19 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau turut diiringi oleh Menteri Pertahanan, Mohamad bin Sabu,dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Persembahan udara (Opening Gambit) pada kali ini melibatkan sebanyak 29 buah pesawat TUDM yang terdiri daripada pesawat pejuang, pesawat pengangkut, pesawat latihan dan helikopter.

Antara aset yang terlibat adalah 5 buah jet pejuang Su-30MKM, 3 buah F/A-18D Hornet, dan 5 buah Hawk 108/208. Selain daripada itu, 8 buah pesawat latihan PC-7MkII, 3 buah pesawat pengangkut A400M serta 3 buah helikopter EC-725 dan 2 buah S-61A Nuri.

LIMA ’19 merupakan siri ke-15 pameran dwitahunan yang diadakan di Pulau Lagenda, Pulau Langkawi semenjak tahun 1991. Pameran ini berlangsung selama 5 hari iaitu bermula 26 Mac hingga 30 Mac 2019.

Pameran ini mempunyai 2 segmen utama iaitu segmen aeroangkasa yang berpusat di MIEC dan segmen maritim di Resort World Langkawi.

Di MIEC, pelawat awam hanya dibenarkan masuk ke tapak pameran mulai 29 Mac 2019 kerana 3 hari pertama pameran adalah khusus untuk pelawat perdagangan. Namun begitu, pelawat awam masih lagi berpeluang untuk memeriahkan LIMA’19 dengan melawat tapak pameran segmen maritim yang dibuka kepada umum mulai hari ini.

Related Articles

Leave a Reply