Home Pertahanan dan Keselamatan Menteri Pertahanan galas tanggungjawab yang besar – Perdana Menteri

Menteri Pertahanan galas tanggungjawab yang besar – Perdana Menteri

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menyatakan cabaran yang dihadapi oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada hari ini adalah berbeza dengan semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan pada satu ketika dahulu.

Tun Dr Mahathir pernah menjawat portfolio Menteri Pertahanan pada tahun 1981 sehingga 1986, yang pada ketika itu turut menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-4.

“Mengimbas kembali, cabaran yang dihadapi Kementerian Pertahanan ketika itu agak berbeza dengan yang dihadapi pada hari ini,” ucap Perdana Menteri ketika Sesi Beramah Mesra dengan Warga Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, pada hari ini.

Sesi ramah mesra dan dialog yang melibatkan seramai 600 orang warga awam dan anggota tentera Kementerian Pertahanan itu merupakan sebahagian daripada aktiviti rangka lawatan ulung beliau ke Kementerian Pertahanan Malaysia.

Menurut beliau, ancaman yang dihadapi oleh Kementerian Pertahanan pada ketika itu adalah ancaman perang gerila yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Ancaman PKM telah mengakibatkan kos yang tinggi dengan berlakunya serangan oleh PKM di tempat strategik sehingga menganggu gugat usaha pembangunan negara.

Beliau menambah, ancaman komunis pada ketika itu turut mengorbankan nyawa dan mencederakan anggota tentera yang bertugas.

Walaupun PKM telah meletak senjata semasa Perjanjian Hadyai pada tahun 1989 dan suasana negara kembali aman, Perdana Menteri mengingatkan bahawa Malaysia tidak terlepas dari ancaman keselamatan.

‘Ancaman berubah, pendekatan pun perlu berubah’

“Perdamaian dengan komunis itu kekal hingga ke hari ini tetapi kita sekarang menghadapi ancaman yang lebih kompleks dan mencabar pada hari ini. Musuh yang dihadapi tidak kita kenali dan kadang-kadang wujud seperti satu bayangan.

“Dengan itu, cara pertahanan dan pendekatan yang perlu kita ambil juga perlu kita ubah dan sesuaikan dengan keadaan di hari ini,” kata Mahathir.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa negara terdedah kepada ancaman dari pelbagai sudut termasuk ancaman luar yang boleh mengheret negara ke kancah pertelingkahan antara kuasa-kuasa besar.

Beliau menambah, ancaman yang dihadapi ini adalah berkait rapat dengan kedudukan Malaysia yang strategik. Namun begitu, Mahathir turut menyatakan kedudukan tersebut memberikan kelebihan kepada negara dari sudut geopolitik serantau dan dunia.

Melihat keadaan dan ancaman semasa, Perdana Menteri menyifatkan Menteri Pertahanan dan pihak Kementerian Pertahanan Malaysia sedang menggalas tanggungjawab yang besar.

“Dengan itu juga, Menteri Pertahanan pada hari ini memikul tanggungjawab yang lebih berat dalam menghadapi ancaman yang lebih kompleks. Ancaman berlaku pada setiap masa kerana maklumat pada era globalisasi ini bergerak pantas dan melampaui sempadan,” jelas Mahathir.

‘Tanggungjawab Kementerian Pertahanan dan Kesiagaan ATM’

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa Kementerian Pertahanan turut mempunyai tanggungjawab untuk mengkaji kesan-kesan dan perkembangan yang sedang berlaku di persada antarabangsa. Selain daripada itu, pihak kementerian turut bertanggungjawab dalam membantu kerajaan untuk mengambil keputusan-keputusan diplomatik yang sesuai disamping menilai kelengkapan yang sesuai dan diperlukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau turut menyuarakan komitmen kerajaan dalam memastikan pelan pembangunan ATM dapat dicapai bagi memastikan pasukan tentera dapat berfungsi dengan baik dalam menjalankan tanggungjawab untuk negara.

“Pihak kerajaan akan berusaha memastikan pelan pembangunan ATM dapat direalisasikan bagi melengkapkan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia. Antaranya Pelan ARMY 4-Next-Generation, Pelan TLDM 15-to-5 dan Perancangan Capability 2055 (CAP55) bagi TUDM,” kata Perdana Menteri.

‘Kertas Putih Pertahanan’

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyentuh Kertas Putih yang dijadualkan untuk dibentang di Parlimen pada Julai ini. Kertas Putih Pertahanan akan menggariskan prinsip dan strategi pertahanan serta pelan pembangunan keupayaan terkini ATM.

“Ia penting bagi memastikan dasar pertahanan negara dapat menangani cabaran semasa dan akan datang. Kertas putih ini akan berperanan memaklumkan kepada parlimen dan rakyat berhubung cabaran semasa Kementerian Pertahanan,

“Ia akan meningkatkan ketelusan serta kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pertahanan dan keselamatan, sokongan rakyat terhadap isu dan cabaran baru keselamatan, sekaligus mengajak mereka untuk turut sama menggalas tanggungjawab mempertahankan negara selaras dengan konsep Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH,” ujar Mahathir.

‘Kecekapan Tadbir Urus dan Integriti’

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa Kementerian Pertahanan Malaysia tidak terlepas daripada kelemahan dan teguran dari Jabatan Audit Negara.

“Teguran ini merangkumi pengurusan program, aktiviti, pembinaan, perolehan, sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi, penyenggaraan dan pengurusan hasil. Kementerian Pertahanan juga tidak terkecuali dari teguran ini,” pesan Perdana Menteri.

Beliau turut mengingatkan agar pihak Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan dan memantapkan lagi kawalan dan serta pengurusan kewangan dalam organisasi. Selain daripada itu, Mahathir turut mengingatkan Kementerian Pertahanan untuk memastikan pengetahuan dan kemahiran pegawai yang terlibat dalam pengurusan kewangan dipertingkatkan dengan memberi latihan sewajarnya secara berterusan.

“Ini kerana Kerajaan pada hari ini sangat komited untuk memastikan Malaysia dikenali kerana tadbir urus yang cekap dan budaya integriti yang tinggi,” kata Mahathir ketika mengakhiri ucapan beliau.

 

Related Articles

Leave a Reply