Home Semasa Pasukan Aerobatik Jupiter TNI-AU sah beraksi di LIMA’19

Pasukan Aerobatik Jupiter TNI-AU sah beraksi di LIMA’19

by Noor Sheila Amin

LANGKAWI, 11 Feb – Pasukan aerobatik Jupiter dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) disahkan akan beraksi pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) pada 26 Mac ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata selain Jupiter One, kemeriahan LIMA’19 akan turut diserikan oleh pasukan aerobatik Malaysia iaitu Krisakti yang menggunakan pesawat Extra 300L.

“Pesawat tanpa pemandu (UAV) Predator MQ- 9B dari Amerika Syarikat (AS) dan CAIG Wing Loong Wing Loong dari China turut mengesahkan penglibatan mereka pada LIMA’19 kali ini..

“LIMA’19 juga akan menampilkan jet pejuang SU-30 MKM dan F/A-18D milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat Tejas milik Tentera Udara India (IAF) dan penerbangan lintas pesawat pengebom B-52 Tentera Udara AS (USAF),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengiktirafan Rakan Penaja LIMA’19 di Resort World hari ini.

Menurut Mohamad, tempahan ruang pameran telah melebihi jangkaan, manakala chalet korporat habis dijual sejak Oktober lalu.

“Pengisian LIMA’19 yang disasarkan oleh penganjur adalah merangkumi sebanyak 60 peratus pameran pertahanan dan baki 40 peratus adalah untuk syarikat komersial.

“Sehingga kini, sebanyak 173 syarikat antarabangsa dan 181 syarikat tempatan telah mengesahkan penyertaan,” katanya.

Mohamad berkata, Turki menjadi pempamer terbesar apabila menempah pavilion mencecah 730 meter persegi dan diikuti Russia 697 meter persegi.

“Penyertaan syarikat tempatan terbesar pula didahului BHIC AeroServices Sdn Bhd, National Aerospace and Defence Industries Bhd (NADI), Muhibbah Engineering dan Sapura Group,” katanya.

Dalam majlis itu, Mohamad menerima replika penajaan daripada Mercedez-Benz Malaysia Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad, Affin Bank Berhad, PETRONAS dan Oris.

Sebanyak 31 negara telah mengesahkan penyertaan dengan 12 negara membuat penyertaan secara berkumpulan atau pavilion negara iaitu Australia, Belarus, China, Perancis, Jerman, Jepun, Rusia, Slovakia, Turki, Ukraine, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrell Leiking; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Pameran LIMA’19 merupakan edisi ke-15 siri pameran antarabangsa tersebut semenjak kali pertama dianjurkan pada tahun 1991. LIMA’19 akan berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi mulai 26 sehingga 30 Mac 2019.

Related Articles

Leave a Reply