Home Semasa PB Muhammad Adib tidak dilanggar – KPN

PB Muhammad Adib tidak dilanggar – KPN

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini menyangkal dakwaan bahawa anggota bomba PB Muhammad Adib Mohd Kassim yang dilanggar jentera bomba dan bukannya dipukul dalam insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di Putra Heights, Subang Jaya, adalah tidak benar.

Ketua Polis Negara berkata maklumat yang diperoleh tidak mendapati Muhammad Adib, 25, dilanggar seperti yang tular di media sosial.

“Kalau tak dipukul macam mana dia boleh cedera kritikal ketika ini. Kita sekarang sedang kenal pasti siapa yang viralkan video berkenaan (yang kononnya menujukkan Muhammad Adib dilanggar).

“Kita juga masih sedang buru individu terlibat memukul Muhammad Adib. Orang ramai  yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bantu siasatan polis untuk kenal pasti mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Mohamad Fuzi bercakap pada sidang media selepas merasmikan Forum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC): Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang di sini hari ini.

Semalam, Badan Bertindak Selamatkan Kuil Sri Maha Mariaman mendakwa Muhammad Adib tidak dipukul sekumpulan perusuh sebaliknya beliau dihimpit jentera bomba, bagaimanapun dakwaan itu disangkal Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.

Setiausaha pasukan petugas kuil itu, VK Regu memaklumkan terdapat tiga video tular di media sosial menunjukkan jentera bomba berundur secara tiba-tiba, manakala Muhammad Adib berada di belakang kenderaan terbabit.

Related Articles

Leave a Reply