Home Pertahanan dan Keselamatan Pencerobohan Perairan: APMM mohon kapal induk

Pencerobohan Perairan: APMM mohon kapal induk

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 1 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini dalam proses memohon kepada kerajaan untuk mendapatkan sebuah kapal induk untuk memperkukuhkan lagi aset APMM sedia ada demi keselamatan perairan negara.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata kapal induk berharga antara RM250 hingga RM300 juta berkenaan sesuai digunakan kerana mampu membawa enam buah bot pada satu-satu masa serta berupaya meningkatkan keberkesanan agensi dalam menghalang cubaan menceroboh perairan negara termasuk oleh nelayan asing.

“Kapal ini cukup besar…dan (memudahkan) penggunaan unmanned aerial vehicle (UAV). Dengan adanya kapal sedemikian, kami dapat mengawasi kawasan yang lebih luas. Apabila sampai ke tengah laut dalam jarak 140 batu nautika menggunakan kapal induk tersebut, kami akan turunkan not-bot itu dengan dipantau UAV yang kami terbangkan, kami akan dapat mengawal kawasan yang begitu luas sehingga 50 batu radius (dari kapal induk),” katanya.

Zulkifili berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini. Turut hadir Timbalannya, Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Pengarah APMM Sabah Laksamana Muda (Maritim) Kamaruszaman Abu Hassan.

Katanya kapal induk berkenaan mampu memantapkan pengawasan perairan negara ini terutama menghalang kes pencerobohan nelayan asing sekali gus menghalang negara ini daripada kehilangan kekayaan sumber marinnya disebabkan eksploitasi nelayan asing.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perikanan, Zulkifili berkata Malaysia kerugian antara RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun akibat eksploitasi sumber perikanan negara ini oleh nelayan asing termasuk dari negara Vietnam.

“Bot nelayan yang datang dari Vietnam ini dibantu oleh nelayan Vietnam yang bekerja dengan bot-bot tempatan. Jadi mereka (bot Vietnam dan nelayan Vietnam yang bekerja dengan bot tempatan) berkolaborasi dengan memaklumkan kedudukan agensi penguatkuasaan negara,” katanya.

Katanya ada juga kes bot nelayan asing ini menyamar sebagai bot nelayan tempatan dan inilah yang perlu ditangani APMM dengan kerjasama daripada agensi lain seperti Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut secara bersepadu. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply