Home Semasa Kes Shafee Abdullah dipindahkan ke mahkamah tinggi

Kes Shafee Abdullah dipindahkan ke mahkamah tinggi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dipindahkan ke mahkamah tinggi.

Ini berikutan tidak ada bantahan yang dibuat oleh timbalan pendakwa raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Peguam Shafee, Havinderjit Singh dan Sarah Abishegam memberitahu mahkamah peguam kanan itu memohon kesnya dipindahkan.

Berikutan itu, Hakim Datuk Azman Abdullah membenarkan permohonan Shafee.

“Permohonan (untuk pemindahan) dibenarkan kerana tidak ada bantahan,” katanya.

Pada 13 Sept lepas, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 Sept, 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Feb 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Malaysiakini

Related Articles

Leave a Reply