Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat Malaysia bersedia untuk bertanding dalam ASEAN Armies Rifle Meet

Tentera Darat Malaysia bersedia untuk bertanding dalam ASEAN Armies Rifle Meet

by M.Daim

MELAKA, 25 Sept -Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat 2018 (UKMTD 2018) yang berlangsung semenjak 17 September lalu telah melabuhkan tirainya pada hari ini. Acara penutup UKMTD 2018 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi di Lapang Sasar 400m, Kem Terendak, Melaka hari ini. Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan bin Md Delin, Panglima Medan Timur Tentera Darat Datuk Stephen Mundaw, Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat dan hampir 1,000 warga Tentera Darat.

UKMTD merupakan acara tahunan dan dilaksanakan bagi menilai kemampuan dan tahap kemahiran individu mengendalikan senjata. Selain daripada itu, ujian ini menjadi platform terbaik bagi mencungkil dan mengenalpasti bakat-bakat baru dalam kepakaran  menembak untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pertandingan yang bermula dari 17 hingga 25 September 2018 ini menampilkan sedikit kelainan kerana siri kali ini dilaksanakan mengikut praktis ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) 2018.

AARM 2018 akan dianjurkan oleh Tentera Darat pada bulan November 2018 di Kem Terendak melibatkan penyertaan dari 10 negara ASEAN (Malaysia, Singapore, Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei, Cambodia, Vietnam, Myanmar dan
Laos).

Kesempatan melaksanakan UKMTD 2018 ini adalah wadah terbaik sebagai raptai dan persediaan TD untuk menghadapi kejohanan utama yang dianjurkan secara bergilir oleh negara-negara peserta.

Dalam siaran akhbar Sel Perhubungan Raya Markas 3 Divisyen, UKMTD 2018 telah berjaya mencapai objektifnya. Antara objektif yang dimaksudkan adalah mengenal pasti para penembak baharu untuk diketengahkan ke pertandingan ASEAN Armies Rifle Meet 2018 pada tahun ini.

Selain daripada itu, pertandingan ini akan dijadikan sebagai panduan dan persediaan kepada AJK untuk menganjurkan AARM 2018.

UKMTD 2018 disertai oleh seramai 542 orang peserta dari 10 formasi. Antara formasi yang bertanding adalah Trup TD1 (Gabungan 10 Briged Para dan 165 Batalion Risik Tentera Darat), Trup TD2 (Gabungan Grup Gerak Khas dan Pasukan Udara Tentera Darat, Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Pemerintahan Logistik Tentera Darat, Divisyen 1, Divisyen 2, Divisyen 3, Divisyen 4 dan Angkatan Petugas 450.

Wakil Trup TD1,  Koperal Mohd Firuz bin Azizan telah merangkul kejuaraan Jaguh Carbine (Lelaki). Kedua-dua kategori Jaguh Pistol (Lelaki) dan Jaguh Pistol (Wanita) dibolot oleh Trup TD2 apabila kedua-dua wakil dari formasi itu, Koperal Helmi bin Zainal Abidin dan Koperal Noor Khatijah binti Hazari berjaya menjuarai kategori masing-masing.

Koperal Mohamad Zamri bin Yusoff dan Koperal Mohd Iskandar Ismail yang mewakili Trup TD1 telah berjaya memenangi tempat pertama dalam kategori Jaguh Machine Gun.

Sementara itu, Koperal Mohamad Zulfi bin Mohd Zulkifli dari Trup TD 1 telah dinobatkan sebagai Jaguh UKMTD 2018. Beliau membawa pulang piala pusingan, lencana jaguh dan wang tunai. Lebih manis lagi, anak kelahiran Bagan Serai, Perak ini turut dinaikkan pangkat dari Koperal ke Sarjan oleh Panglima Tentera Darat. Beliau telah menyertai perkhidmatan pada 5 November 2007 dan kini menjawat jawatan Penolong Ketua Seksyen Penyelam di pasukan 10 Skn RAJD (Para).

Kejayaan oleh peserta yang mewakili Trup TD1 telah membawa Formasi Trup TD1 untuk dipilih menjadi Johan Keseluruhan Formasi UKMTD 2018.

Galeri gambar (klik gambar untuk melihat dalam saiz besar):

Related Articles

Leave a Reply