WASHINGTON D.C., 25 Sept – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Norman Mattis di Pentagon, Washington DC hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai isu keamanan dan keselamatan serantau. Antara perkara yang dibincangkan adalah isu keamanan di Laut China Selatan di mana Malaysia akan kekal berpendirian sebagai negara berkecuali.
Siaran media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan pada hari ini menyatakan, perbincangan hampir sejam antara Malaysia-Amerika Syarikat turut membincangkan isu bagi menangani ancaman pengganas Da’esh dan membendung pemikiran terorisme.
Malaysia juga turut membangkitkan isu penghapusan etnik Rohingya kepada perhatian Amerika Syarikat agar kuasa besar itu segera campur tangan memandangkan ia bukan lagi isu domestik di Myanmar malah isu kemanusiaan sejagat.
Malaysia berpandangan jika isu Rohingya tidak ditangani segera ia bakal mengulangi apa yang terjadi di negara Palestin apabila rakyatnya dibunuh dan tanah dijajah sekaligus dibimbangi akan mampu menyuburkan fahaman Daesh.
Turut serta dalam pertemuan itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin dan pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan.
Pertemuan hari ini adalah sebahagian daripada lawatan kerja Menteri Pertahanan ke Amerika Syarikat bermula 23 – 29 September 2018. Mohamad Sabu juga dijadualkan menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi berhubung dengan Action For Peacekeeping di New York. Beliau akan mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Sesi-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) yang dijadualkan akan berlangsunjg pada 25 hingga 29 September 2018.
Lawatan kerja Menteri Pertahanan ke Washington D.C. adalah merupakan susulan kepada pertemuan beliau dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat di Singapura pada Jun 2018.
Galeri Gambar (klik untuk melihat gambar dalam resolusi yang lebih besar):