Home Pertahanan dan Keselamatan Libatkan tentera, polis jadi renjer hutan

Libatkan tentera, polis jadi renjer hutan

by Nurulhuda

TAIPING, 21 Sept – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bercadang melibatkan anggota tentera dan polis yang bertugas di kawasan hutan untuk bersama membantu renjer hutan membendung kes pemburuan haram haiwan liar terancam.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, cadangan dikemukakan setelah mengambil kira kemahiran dalam hutan dimiliki anggota polis dan tentera ditugaskan dalam kawasan hutan bagi bersama mengesan sebarang aktiviti pemburuan haram.

“Saya akan arahkan ketua setiausaha kementerian mengadakan perbincangan dengan polis dan tentera bagi mewujudkan satu kerjasama bersepadu sekali gus membolehkan dua agensi itu menjadi renjer hutan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Kita mengakui negara kita sedang mendepan kekalahan dalam menangani ancaman pemburuan haram di mana kesan paling besar adalah kita semakin kepupusan bilangan harimau yang kini dianggarkan sekitar 315 ekor sahaja di negara ini,” katanya.

Katanya pada sidang media sempena program lawatan Zoo Taiping dan Night Safari yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Datuk Abdul Rahim Md Ariff dan Pengarah Zoo Taiping & Night Safari, Dr Kevin Lazarus, petang semalam.

Menurutnya, berikutan itu, Perhilitan akan menambah 50 anggota renjer hutan bagi mencukupkan bilangan 150 renjer hutan diperlukan bagi menjaga keseluruhan kawasan hutan yang luas di negara ini.

“Pada masa sama, melalui kerjasama polis dan tentera, anggota mereka yang bertugas di kawasan hutan juga akan terlibat menjadi renjer hutan di serta akan diberi latihan khas bagi mengenal pasti perangkap digunakan pemburu haram.

“Perhilitan mengenal pasti pemburu haram paling ramai di negara ini adalah terdiri daripada rakyat tempatan walaupun terdapat juga sebahagian warga asing,” katanya.

Dr Xavier berkata, lebih membimbangkan apabila pemburu haram kini menumpukan urus niaga secara atas talian untuk menjual spesies haiwan liar terancam termasuk anggota badan haiwan itu kepada pembeli dengan harga lumayan.

“Kita mengenal pasti urus niaga penjualan haiwan terancam secara atas talian dipromosikan secara meluas melalui laman media sosial terutama Facebook sehingga ia kini menjadi satu urus niaga perniagaan besar.

Dalam pada itu, Dr Xavier memberi jaminan kerajaan pusat akan mempertimbangkan permohonan projek menaik taraf Zoo Taiping dan Night Safari bernilai RM52 juta melalui bajet RMK seterusnya.

Related Articles

Leave a Reply