PUTRAJAYA, 21 Sept – Duta dan pesuruhjaya tinggi negara yang dilantik atas kapasiti lantikan politik akan ditamatkan perkhidmatan.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara yang menjadi amalan terdahulu kini berakhir.
“Mereka akan dipanggil balik dan perkhidmatannya ditamatka,” katanya.
Menurutnya, Wisma Putra telah dimaklumkan agar tiada lagi lantikan politik bagi jawatan itu.
“Hanya penjawat awam sahaja akan dilantik sebagai ketua misi diplomatik negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah JKKMAR di sini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional Tan Sri (GIACC) Abu Kassim Mohamed turut hadir pada sidang itu.
Mahathir turut mengumumkan, Institut Integriti Malaysia (Integriti) yang ditempatkan di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) akan bertindak sebagai badan operasi membina kapasiti dan kompetensi agensi kerajaan dan korporat.
“Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) akan diserapkan fungsi ke dalam GIACC dan akan dibincang bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira aspek penjimatan di pihak kerajaan,” katanya.