Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut KD Jerong berpindah ke Mawilla 2

KD Jerong berpindah ke Mawilla 2

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 19 Sept – Bagi memperkasakan keselamatan perairan pantai timur Sabah, Kapal Diraja (KD) Jerong dari Markas Pemerintahan Armada Timur di sini kini dipindahkan di pemerintahan Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Sandakan bermula hari ini.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Haji Ayob berkata perpindahan ini dilaksanakan selaras penubuhan pemerintahan dua wilayah yang dirasmikan pada 27 April tahun lalu.

“Usaha ini juga bagi mewujudkan keseimbangan keupayaan di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya semasa Majlis Pelepasan KD Jerong semalam.

Turut hadir adalah Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain, panglima-panglima dan warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Rahman berkata usaha ini mula dilaksanakan dengan perpindahan dua kapal tahun ini iaitu KD Selangor dan KD Kelantan ke Markas Pemerintahan Armada Timur bagi menampung keperluan aset TLDM di wilayah ini yang mempunyai kawasan operasi yang luas dan mencabar.

“Kita berbangga dengan seluruh warga KD Jerong yang sentiasa memberikan sokongan kepada Markas Pemerintahan Armada Timur dalam mempamerkan mutu dan kualiti bagi pelaksanaan operasi dan eksesais serta pembabitan dalam acara di Pangkalan TLDM.

“Terima kasih kepada KD Jerong yang berjaya melaksanakan misi dan tanggungjawab ketika berkhidmat di Markas Pemerintahan Armada Timur,” katanya.

Beliau juga mengharapkan agar warga KD Jerong sentiasa mengekalkan tahap disiplin yang tinggi bagi memastikan prestasi tinggi selain menentukan kesiagaan kapal sentiasa pada tahap terbaik.

KD Jerong adalah kapal TLDM kelas Fast Attack Craft – Gun yang ditauliahkan pada 27 Mac 1976 dengan nombor penant 3505, kapal ini dibina oleh Hong Leong Lurssen Ship Yard Company Limited di Butterworth Pulau Pinang dengan menggunakan teknologi negara Jerman. Keanggotaan kapal ini seramai empat pegawai dan 43 lain-lain pangkat.

Perpindahan KD Jerong membabitkan keluarga yang akan turut sama menetap dan berpindah ke Markas Wilayah Laut 2, Sandakan.

Related Articles

Leave a Reply