Home Semasa Buku kisah di sebalik siasatan skandal 1MDB dilancar

Buku kisah di sebalik siasatan skandal 1MDB dilancar

by Air Times News Network

PETALING JAYA, 10 Sept – Buku ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’ yang menceritakan kisah di sebalik siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh pengasas dan  editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dilancarkan secara rasmi semalam.

Buku setebal 528 halaman itu mengandungi butir-butir mengenai daya usaha Rewcastle Brown dalam mendapatkan maklumat mengenai syarikat pembangunan strategik Malaysia itu hingga terpaksa berdepan dengan kempen meluas oleh pihak-pihak tertentu menentang beliau dan laman sesawangnya.

“Beberapa pihak dibayar untuk memburuk-burukkan saya, sambil berpura-pura menjadi aktivis. Tetapi kami terpaksa menjalankan kerja dalam keadaan terpencil kerana bimbang.

“Namun saya rasa bertanggungjawab melaporkan berbagai-bagai skandal rasuah, dari pemusnahan hutan Sarawak hingga 1MDB, ekoran undang-undang yang menyekat wartawan media arus perdana (di negara ini),” kata beliau pada pelancaran buku itu di sebuah hotel di sini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Damansara Tony Pua kerana sedia menjadi ‘konspirator bersama dan kolaborator’ dan banyak membantu beliau semasa melakukan siasatan dan melaporkan skandal itu.

Rewcastle Brown, 58, kelahiran Sarawak berkata walaupun buku itu memfokus kepada 1MDB dan Malaysia, ia juga membawa mesej kepada penduduk di serata dunia tentang perlunya melaksanakan undang-undang dan peraturan untuk berlindung daripada penjenayah yang punya hubungan dengan orang yang berkuasa.

Sementara itu, Pua yang hadir pada majlis pelancaran itu berkata wartawan muda di negara ini hendaklah belajar daripada perjuangan dan komitmen Rewcastle Brown dalam melakukan sesuatu yang membantu membawa  perubahan kepada negara ini.

“Mungkin pada masa depan mereka boleh lakukan sesuatu seperti dilakukan oleh Clare dan melakukan perubahan di Malaysia,” kata beliau.

Skandal 1MDB yang dianggap oleh kebanyakan orang sebagai salah satu sebab yang menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama 61 tahun, sekali gus pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei tahun ini.

Rewcastle Brown telah memainkan peranan penting dalam mendedahkan fakta di sebalik skandal 1MDB, termasuk membongkar identiti lelaki utama di sebalik skandal berkenaan, Jho Low dalam siasatan yang memakan masa beberapa tahun. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply