Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berpendapat, ini merupakan sebahagian daripada elemen kestabilan yang patut diberi penekanan sebagai formula kejayaan bangsa Malaysia yang kuat, stabil serta maju dalam negara yag harmoni.

Selain  itu katanya,  kefahaman tentang kontrak sosial sedia ada juga perlu dibincangkan dengan semangat patriotik yang tinggi, dan diadun dengan formula baharu dalam usaha mengekalkan suasana itu serta penekanan pembentukan modal insan yang berkualiti.

“Lebih utama lagi, penerapan nilai-nilai Islam harus dimasukkan dalam agenda kemerdekaan agar kita  tidaklah sekadar merdeka dari penjajah luar, untuk dijajah pula oleh warganegara sendiri,” tegasnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Jalur Gemilang peringkat negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali dan  Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri, Ariffin Deraman.

Juga  Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat di samping Pengerusi Jawatankuasa Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah.

Program bermula dengan persembahan ‘Ritma Gen-T Merdeka’ oleh pelajar sekolah disusuli tayangan montaj lagu tema Hari Kebangsaan dan perarakan masuk 30 anggota Rejimen 512 Askar Wataniah yang membawa Jalur Gemilang.

Seterusnya perarakan membawa masuk Jalur Gemilang oleh Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSTLDM) yang kemudian dinaik serta dikibarkan dengan iringan lagu Negaraku.

Menteri Besar kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada semua pegawai daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT), pengarah-pengarah agensi keselamatan dan penguat kuasa serta badan beruniform.

Sebelum bersurai, Dr. Ahmad Samsuri turut menyempurnakan gimik pelancaran dengan melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan-kenderaan jabatan dan agensi kerajaan.