Home Semasa Piala Dunia: Sweden tumpaskan Switzerland

Piala Dunia: Sweden tumpaskan Switzerland

by Air Times News Network

SAINT PETERSBURG, Russia, 4 Jul -Sweden menumpaskan Switzerland 1-0 untuk mara ke suku akhir Piala Dunia dengan jaringan tunggal dihasilkan oleh Emil Forsberg apabila rembatannya terkena pertahanan lawan sebelum menerjah ke dalam jaring gol.

Perlawanan yang berlangsung di Saint Petersburg itu menyaksikan beberapa peluang tercipta, namun rembatan Forsberg pada minit ke-66 terkena pemain, Manuel Akanji sekali gus menyaksikan penjaga gol, Yann Sommer tergaman tidak boleh melakukan apa-apa untuk menyelamatkan percubaan berkenaan.

Switzerland dilihat menguasai perlawanan namun agak tumpul di bahagian serangan dan empat percubaan tepat yang dilakukan dalam tempoh 90 minit langsung tidak memberi masalah buat penjaga gol, Robin Olsen di pintu gol Sweden.

Perlawanan di Stadium St Petersburg itu juga menyaksikan penonton merungut dan bersiul selepas 25 minit berikutan kedua-dua pasukan gagal mempamerkan permainan berkualiti termasuk gagal mencorakkan serangan merbahaya.

Bagaimanapun, percubaan Marcus Berg pada minit ke-27 tenang diselamakan Sommer dan Albin Ekdal juga memperoleh peluang terbaik apabila melakukan voli selepas menerima hantaran lintang Mikael Lustig namun ia tersasar keluar.

Pada hujung separuh masa pertama, Blerim Dzemaili melepaskan peluang terbaik Switzerland apabila melakukan rembatan dari jarak 12 meter, manakala Xherdan Shaqiri pula berdepan masalah melakukan hantaran terlalu tinggi dan tidak tepat.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan sama dengan bola banyak berlegar di kawasan tengah dan seolah-olah permaianan akan diheret sehingga masa tambahan serta penentuan penalti sehinggalah rembatan Forsberg pada minit ke-66 melenyapkan telehan berkenaan.

Pemain tengah RB Leipzig itu mengambil hantaran dari penjuru petak penalti sebelum melepaskan rembatan dengan kaki kanan dan bola berkenaan terkena kaki Akanji tatkala Sommer sudah mahu merebahkan badan ke arah lain.

Switzerland cuba bangkit mencari gol penyamaan namun pertahanan Sweden bertindak cemerlang dengan menyerap segala usaha pasukan lawan malah mereka cuba untuk menambah jaringan melalui serangan balas pantas.

Mereka berjaya melepasi pertahanan Switzerland pada masa kecederaan selepas pemain gantian, Martin Olsson berjaya melepaskan diri dan dijatuhkan di luar petak penalti.

Pengadil perlawanan pada mulanya memberikan sepakan penalti namun menukar keputusannya selepas dibantu video bantuan pengadil (VAR) dengan hanya menghadiahkan sepakan percuma dan Sommer tidak berdepan masalah untuk menyelamatkan percubaan Ola Toivonen. – AFP

 

Related Articles

Leave a Reply