Home Pertahanan dan Keselamatan Mat Sabu baca khutbah Jumaat di Kem Gua Permai

Mat Sabu baca khutbah Jumaat di Kem Gua Permai

by Air Times News Network

IPOH, 29 Jun – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini membacakan khutbah Jumaat pertamanya sejak menjadi menteri di Surau Salahuddin Al-Ayubi, Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Gua Permai, di sini.

Selain membaca khutbah, Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu turut bersama menunaikan Solat Jumaat diimamkan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Turut mengiringi beliau adalah Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, barisan EXCO Kerajaan Negeri serta Panglima 2 Briged, Brig Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar.

Mat Sabu dalam khutbahnya mengajak umat Islam supaya merenung dan melihat semula kesilapan yang pernah dilakukan dengan melakukan pengislahan atau pembaharuan sekali gus membolehkan umat Islam kembali memimpin.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sedang membaca khutbah Jumaat

Katanya, ketika seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri, terdapat negara Islam lain berada dalam peperangan berpunca daripada tiadanya perpaduan sehingga membawa kepada perpecahan dan masing-masing menghalalkan darah manusia sesama agama.

Menurutnya, perselisihan itu menjadikan umat Islam sendiri takut untuk berada di negara yang dipimpin oleh orang Islam dan melarikan diri bersembunyi di negara yang dipimpin oleh orang bukan Islam.

“Ini semua menjadi pengajaran kepada kita (umat Islam), sama ada pihak berkuasa atau tidak berkuasa perlu renung, lihat dan sanggup membuat pengislahan dan pembaharuan supaya kita dapat kembali memimpin di atas muka bumi ini.

“Kita (umat Islam) kena mengakui kelemahan, penuh tawaduk dan sama-sama membina kesilapan yang dilakukan orang Islam sama ada pimpinan secara khas atau umat Islam yang lain secara umum.

“Sama-samalah kita merenung kehebatan, kekuatan yang ada pada orang Islam, sama-samalah kita membuat pengislahan dan pembetulan mana-mana yang perlu dilakukan oleh orang Islam untuk memperbaikinya,” katanya dalam khutbahnya.

Mat Sabu dalam khutbahnya berkata, pengislahan itu adalah bagi membolehkan tanggapan negatif diberikan terhadap umat Islam dapat ditangkis dan ia mestilah dibuktikan dengan pembaharuan di dalam diri umat Islam itu sendiri.

“Sebut saja perkara keji dan buruk ada pada orang Islam, negara kotor negara orang Islam, negara paling tinggi rasuah negara orang Islam, negara tiada ukhuwah, bunuh sesama sendiri negara orang Islam, umat jadi pelarian paling ramai umat islam.

“Apakah agama yang salah atau kita yang salah, insafilah, kitalah (umat Islam) yang perlu membuat pembetulan dan pengislahan, pintu taubat daripada Allah terbuka luas.

“Terutama pada golongan yang menang (menjadi pemimpin), ingat pesanan Allah, bila kamu diberi kemenangan, sifat kamu mestilah lebih tawaduk kepada Allah, lebih banyak bertasbih dan memuji kebesaran Allah dan mengaku kesilapan untuk membuat pembetulan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!