TOKYO, 27 Jun – Jepun dilaporkan akan menyediakan dana sebanyak 2.5 bilion yen (USD$ 23 juta) kepada Indonesia. Penyediaan dana tersebut adalah untuk membangunkan beberapa buah pulau milik Indonesia di kawasan Laut China Selatan.
Pembangunan tersebut adalah tertumpu kepada pembangunan fasiliti perikanan di kawasan itu.
Pada Isnin lalu, Menteri Luar Jepun, Taro Kono dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsudi, telah menandatangani dokumen dana tersebut. Antara perkara dibincangkan oleh kedua-dua pihak adalah kerjasama ekonomi dan keselamatan maritim serta isu anti pengganas.
Bantuan yang diberikan oleh Tokyo adalah selari dengan perancangan “kawasan Indo-Pasifik bebas dan terbuka”. Dana tersebut akan digunakan bagi membina pelabuhan dan fasiliti perikanan yang lain pada Januari 2020 di enam buah pulau di Laut China Selatan.
Antara pulau yang terlibat adalah Pulau Natuna.
Menurut pihak Kementerian Luar Jepun, keenam-enam pulau yang dikenalpasti tidak mempunyai fasiliti yang mencukupi untuk melaksanakan aktiviti perikanan.
Bantuan ini sekaligus mengeratkan lagi hubungan diplomatik yang berusia 60 tahun antara kedua-dua negara itu.