SUBANG, 7 Mei – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah membuat satu penerbangan ihsan (MEDEVAC) ke atas seorang pesakit yang memerlukan pemerhatian dan rawatan segera.
Pesakit yang berusia 39 tahun, iaitu Puan Shafinah binti Saad, menghidap penyakit jantung, Chronic Rhematic Heart Disease telah dibawa dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur bagi menjalani pemerhatian dan rawatan rapi disebabkan jangkitan kuman pada luka (Surgical Site Infection of Sternotomy Wound).
Beliau turut mengalami komplikasi denyutan jantung tidak normal (Atrial Fibrillation) yang memerlukan pemerhatian lanjut dari pegawai perubatan pakar IJN.
Shafinah telah diterbangkan dari Kolej Tentera Udara, Alor Setar ke Pangkalan Udara Subang dengan menggunakan pesawat TUDM jenis CN235 dari No.1 Skuadron.
Pesawat tersebut diterbangkan oleh Mejar Mohd Azhar bin Mohd Yusoh dan Pembantu Juruterbang, Kapten Mohd Hafiz bin Mohamad Abdullah. Turut terbang bersama krew pesawat dari No.1 Skuadron iaitu Sarjan Udara David anak Tonge, Sarjan Udara Nurul Hazmil bin Ghazali dan Sarjan Udara (Wanita) Nurul Atikah bte Mohd Suhaimi.
Pesawat tersebut telah berlepas pada jam 0940 pagi dari Kolej Tentera Udara dan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 1050 pagi tadi. Pesakit seterusnya telah dibawa ke IJN menggunakan ambulans dengan kadar segera bagi menjalani pemeriksaan lanjut di pusat perubatan tersebut.
Turut mengiringi pesakit, suaminya iaitu Pegawai Waran Udara II Mohamad Akhir bin Mansor serta Pegawai Perubatan dan Jururawat dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Penerbangan ini mencerminkan komitmen yang padu dan keprihatinan yang tinggi oleh seluruh warga TUDM khususnya di dalam memenuhi keperluan kebajikan warganya serta masyarakat umum amnya.