Home Pertahanan dan Keselamatan Hubungan diplomatik Malaysia-Perancis erat melalui hubungan antara tentera laut

Hubungan diplomatik Malaysia-Perancis erat melalui hubungan antara tentera laut

by M.Daim

PELABUHAN KLANG, 14 Apr – Kerjasama strategik di antara Perancis dan Malaysia diperkukuhkan dengan pelaksanaan Misi Jeanne d’ Arc menerusi lawatan dua kapal tentera laut negara itu, semalam.

Kedua-dua kapal iaitu amfibi Dixmude dan frigat Surcouf selamat berlabuh di dermaga Pelabuhan Utara dan Boustead Cruise Centre, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Misi itu membabitkan penyertaan seramai 133 kadet muda Perancis dan asing yang menjalani pelbagai latihan termasuk ketenteraan serta maritim bermula Februari hingga Julai ini.

Kehadiran kapal Tentera laut Perancis ke negara ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan diplomatik dua hala melalui Diplomasi Pertahanan. Foto: État-Major Armées

Lawatan itu juga mengeratkan kerjasama perkongsian maklumat di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Perancis mengenai penggunaan kapal berkenaan dalam operasi ketenteraan, pemindahan bukan membabitkan senjata dan misi bantuan kemanusiaan.

Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche, berkata kedua-dua negara sudah menjalinkan kerjasama diplomatik termasuk ketenteraan yang kukuh sejak sekian lama.

“Ia termasuk lawatan dan pertemuan khas antara Menteri Pertahanan kedua-dua negara di Kuala Lumpur, Januari lalu, antara lain membincangkan perkongsian atau kerjasama mengenai ketenteraan sama ada darat, laut dan udara.

“Malaysia dan Perancis berkongsi matlamat sama, antaranya memastikan keselamatan laut negara, memerangi keganasan dan lanun serta menguatkuasakan undang-undang di laut,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Utara, di sini.

Hadir sama, Panglima Armada Angkatan Bersenjata Perancis kawasan Asia Pasifik, Dennis Bertrand dan Pegawai Pemerintah Kapal Surcouf, Komander Christine Ribbe.

Laplanche berkata, misi seumpamanya akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan kerjasama ketenteraan di negara berkaitan dapat diperkukuhkan.

Kedua-dua kapal yang berlepas dari Chennai, India itu akan berada di negara ini selama empat hari sebelum bertolak ke Indonesia.

 

Related Articles

Leave a Reply