Home Pertahanan dan Keselamatan Pedulikan cemuhan, fokus pada perjuangan – Hishammuddin

Pedulikan cemuhan, fokus pada perjuangan – Hishammuddin

by Nurulhuda

Kuala Lumpur, 12 Apr – Majlis Pelancaran IKRAR Kementerian Pertahanan: Perteguh Negaraku telah dilancarkan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Dewan Perkasa, Jalan Padang Tembak hari ini.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin dalam ucapan perasmian berkata pelancaran ikrar pada hari ini bertujuan untuk menzahirkan beberapa mesej penting kepada semua warga MINDEF.

Menurut beliau majlis ini diadakan bagi menggambarkan KEMENTAH adalah sebuah kerajaan dan pentadbiran yang mempunyai misi dan agenda yang jelas serta mengikut keperluan.

“Sejak dari tahun 2016, MINDEF dan ATM telah menetapkan agar segala inisiatif dan pendekatan yang bakal dilaksanakan di Kementerian ini mestilah berfokus, menyeluruh serta mempunyai objektif yang bersasar”, ujar beliau lagi.

“Kita tidak mahu lagi melaksanakan inisiatif yang biasa-biasa. Kita tidak mahu lagi berasa cepat berpuas hati, dan yang lebih penting, kita tidak mahu bersikap sambil lewa. Ini kerana kita semua sedang berkhidmat di MINDEF, Kementerian yang diberi amanah dan tanggungjawab besar untuk memelihara keamanan dan kedaulatan pertiwi ini, tambahnya lagi.

Hishammudin turut menegaskan agar semua warga MINDEF agar berada dalam satu semangat dan pasukan yang sama agar dapat berkerjasama untuk mencapai satu misi yang jitu.

“Ini bukan ikrar saya seorang. Ini juga bukan misi saya seorang. Tetapi ini adalah ikrar bersama kita semua. Misi kita semua”, katanya lagi.

Berhubung ikrar kementerian itu, Hishammuddin berkata, ia mengandungi enam teras hala tuju iaitu Kebajikan, Diplomasi Pertahanan, Perumahan, Kesiapsiagaan, Keselamatan dan Khidmat Negara.

Beliau juga percaya, pasti ada pihak diluar yang memandang enteng dan menganggap pelancaran ikrar pada hari ini sebagai sekadar untuk meraih undi dalam pilihanraya serta mempunyai agenda tersembunyi.

Namun, Hishammuddin berpesan agar warga MINDEF tidak mempedulikan dengan tanggapan mereka di luar sana dan hanya fokus kepada perjuangan yang dilakukan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Bin Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat; Jeneral Dato’ Sri Zulkiple Bin Hj Kassim, Panglima Tentera Laut; Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Bin Haji Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara; Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Bin Buang.

Related Articles

Leave a Reply