KUala Lumpur, 5 Apr – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pembangkang yang membantah Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 didakwa takut pada bayang-bayang sendiri.
“Ini menyebabkan mereka membantah RUU berkenaan yang diluluskan Dewan Rakyat, baru-baru ini”, tambahnya lagi.
Menurutnya, sebaliknya pembangkang didakwa sering menguarkan berita palsu dan tidak sahih terutama di laman sosial.
“RUU berkenaan dilaksana supaya tak timbul masalah kepada rakyat kerana kebelakangan ini terlalu banyak berita palsu dan cerita tak betul viral, termasuk tahap lebih serius seperti tuduhan palsu,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, RUU berkenaan bermanfaat untuk menyekat penularan berita palsu dalam kalangan rakyat.
“Perubahan itu perlu ada agar seiring dengan perubahan dunia, jadi kita perlu perkemaskan undang-undang negara. Tak perlu takut jika kita tak sebar berita palsu, jika rasa takut bermakna merekalah penyebar berita palsu,” katanya.
Menurutnya, kenyataan Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mansuhkan RUU Antiberita Tidak Benar sebagai ‘wayang’ semata-mata.
“Ketika Mahathir jadi perdana menteri selama 22 tahun, dia yang sekat macam-macam, bila tak berkuasa lagi, sekarang tak mahu ada kawalan pula. Berapa ramai pemimpin ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika itu, termasuk Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu,” katanya.
Ahmad Bashah turut mempersoal hasrat Mahathir mahu mansuhkan undang-undang baharu itu, kerana berdasarkan pengalaman pemerintahan beliau, pelbagai sekatan diwujudkan.
“Rakyat perlu nilai, saya tak yakin dengan janji beliau mahu mansuhkan, mungkin tambah lagi adalah sekatan baharu jika beliau kembali berkuasa,” katanya.
Menurutnya, berbeza bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mansuhkan ISA selain membenarkan kebebasan bersuara dengan peraturan tertentu.
Kelmarin, Mahathir tegaskan, RUU berkenaan disifatkan sebagai menekan rakyat menyebabkan Pakatan Harapan (Harapan) akan mansuhkan sekiranya menjadi kerajaan.