Home Pertahanan dan Keselamatan KD SRI INDERA SAKTI : Berusia tapi berjasa

KD SRI INDERA SAKTI : Berusia tapi berjasa

by M.Daim

BINTULU, 2 Apr – KD Sri Indera Sakti menjadi tumpuan pengunjung semasa Hari Terbuka Kapal diadakan di Pelabuhan Bintulu semalam.

Seramai 12,351 orang pengunjung datang melawat kapal Pemerintahan dan Sokongan serta merupakan salah satu kapal terbesar dalam inventori TLDM ini.

KD Sri Indera Sakti mendapat sambutan semasa berlabuh di Tawau. Seramai 15,071 pengunjung hadir semasa Hari Terbuka KD Sri Indera Sakti di Tawau.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Bin Haji Ahmad Badaruddin menyifatkan kehadiran lebih 12 ribu pengunjung ke KD Sri Indera Sakti adalah satu sambutan luar biasa.

Tambah beliau, kehadiran aset TLDM mampu meningkatkan perasaan selamat rakyat dan pelabur asing di negara ini.

Hari Terbuka tersebut mendapat maklum balas yang positif dari pengunjung yang hadir.

KD Sri Indera Sakti turut menerima kehadiran warga veteran ATM. Foto: KD Sri Indera Sakti

“Kapal ini telah berbakti kepada kami dan membawa kami dari satu lokasi ke lokasi lain semasa kami berkhidmat dahulu,” kata Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Bintulu, Hj Shearack Sebli.

“TLDM sememangnya memainkan peranan yang penting dalam Angkatan Tentera Malaysia,” ujarnya.

Mengimbau kenangan lama – Veteran TLDM yang merupakan bekas anak kapal KD Sri Indera Sakti hadir melawat kapal tersebut semasa berlabuh di Bintulu.

Pesara TLDM, Emang Ringkai yang bersara pada tahun 2013 turut hadir melawat kapal ini. Menurut beliau, KD Sri Indera Sakti merupakan kapal MPCSS yang dimiliki oleh TLDM merupakan Kapal Diraja yang terbesar dari kelas MPCSS dalam inventori TLDM.

“Saya percaya, kehadiran KD Sri Indera Sakti ke Pelabuhan Bintulu dapat mengeratkan lagi hubungan rakyat dengan anggota TLDM, malah dapat mempertingkatkan pemahaman rakyat mengenai aset TLDM ini.”

Bagi Abdul Razak Hamdani, lawatan beliau ke kapal ini sempena Hari Terbuka kali ini merupakan lawatan beliau yang kedua selepas melawat kapal tersebut semasa di Kuching beberapa tahun lalu.

“Saya hadir hari ini kerana diberi peluang sekali lagi untuk melawat KD Sri Indera Sakti. Program sebegini memberikan manfaat tersendiri dan memperkenalkan kerjaya TLDM kepada generasi muda,” katanya.

“Walaupun hujan, pengunjung tidak berganjak dan terus datang melawat kapal,” kata Pegawai Memerintah iaitu Komander Mohamad Sham bin Saimon TLDM.

Ketika dihubungi, beliau memanjat rasa syukur dengan melihat sambutan warga Bintulu semasa Hari Terbuka tersebut.

Tinjauan di laman rasmi KD Sri Indera Sakti mendapati, Hari Terbuka ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari pengunjung. Malah, KD Sri Indera Sakti turut dilawati pengunjung yang berusia 81 tahun dari Sarikei, yang pernah berkhidmat di kapal ini.

KD Sri Indera Sakti yang mempunyai sesaran 4,450 tan telah ditauliahkan di Bremer Vulkan Shipyard, Jerman pada 7 November 1980.Kapal yang berukuran sepanjang 100 meter ini merupakan kapal sokongan TLDM yang mempunyai sejarah tersendiri.

Kehadiran KD Sri Indera Sakti turut mencungkil minat generasi muda untuk mendekati lebih rapat TLDM. Foto: KD Sri Indera Sakti

Semasa pencarian MH370, KD Sri Indera Sakti turut diaturgerak untuk melaksanakan pencarian.

Pada awal Januari lalu, KD Sri Indera Sakti berjaya menyelamatkan seorang nelayan yang terjatuh dari bot di perairan Lumut.

Selain menabur bakti di perairan negara, KD Sri Indera Sakti turut terlibat dalam operasi membasmi aktiviti perlanunan di Teluk Aden.

Pada 17 Disember 2008, kapal ini berjaya menghalang cubaan lanun untuk menawan kapal Zhenhua 4. Ketika cuba menawan anjungan kapal, kehadiran helikopter Fennec telah menyebabkan kumpulan lanun lari meninggalkan Zhen Hua 4.

Pada tahun 2009, kapal ini sekali lagi menggagalkan cubaan lanun yang cuba menawan kapal tangki MV Abul Kalam Azad. Dua bot lanun yang cuba merapati kapal tangki tersebut berjaya dihalang oleh helikopter yang dihantar dari KD Sri Indera Sakti dan sebuah lagi dari kapal Tentera Laut Diraja Arab Saudi.

KD Sri Indera Sakti kini menjadi platform untuk anggota Pasukan Simpanan Sukarelawan TLDM (PSSTLDM) untuk menjalani latihan di laut semenjak tahun 2014.

Menurut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman, kehadiran pengunjung ke KD Sri Indera Sakti membuktikan bahawa kapal ini masih hebat dan gah walaupun berusia.

“Jika KD Sri Indera Sakti mendapat sambutan sebegini, bayangkan bagaimana pula jika kapal MRSS TLDM berlabuh di pelabuhan Bintulu,”

Beliau turut menegaskan bahawa beliau sentiasa mengingatkan diri dan warga TLDM bahawa aset yang diperolehi oleh TLDM adalah amanah rakyat Malaysia.

“Perolehan dan senggaraan aset TLDM adalah menggunakan wang rakyat dan adalah menjadi tanggungjawab kepada TLDM untuk mengoperasikan dan menyenggara aset-aset sedia ada dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Sudah tentu tugas dan peranan untuk menjaga kedaulatan perairan negara adalah keutamaan TLDM.”

Walaupun sudah mencecah usia 38 tahun, KD Sri Indera Sakti masih lagi gigih berkhidmat kepada rakyat dan berlayar menjaga perairan negara. Mungkin dianggap ‘tua’, tetapi hasil budaya senggaraan dan pengurusan cekap warga TLDM, KD Sri Indera Sakti masih menabur jasa kepada negara.

KD Sri Indera Sakti – walaupun sudah berusia, tapi masih lagi mampu berjasa. TLDM sudah tentu menanti kehadiran MRSS pada satu hari nanti. Foto: KD Sri Indera Sakti

Dalam memastikan Kesiagaan kapal berada pada tahap terbaik dan siap sedia diatur gerak, KD Sri Indera Sakti turut menjalani pemodenan dimana instalasi peralatan canggih termasuklah sistem navigasi moden iaitu ECDIS serta radar navigasi yang mampu mengesan kontek sejauh 120 batu nautika dan juga Forward Looking Electro Optic System (FLES) telah dipasang di kapal ni. Selain itu, kapal juga turut dilengkapi dengan sistem X-Band yang mana sistem perhubungan secara berpusat melalui integrasi peralatan terkini dapat diaplikasikan serta sebarang maklumat dapat disalurkan terus ke Pusat Operasi.

Tambahan pula, Kapal juga turut menjalani modenisasi bagi sistem janakuasa dan sistem pengagih kuasa utama. Pemodenan tersebut telah membolehkan pengurusan kuasa kapal dikendali dengan lebih baik dan efisyen, dengan tahap kegagalan kuasa yg lebih minimum.

Kapal MRSS merupakan salah satu daripada 5 kelas aset TLDM yang digariskan di bawah Pelan Transformasi 15-to-5.

KD Sri Indera Sakti pada ketika ini sedang meneruskan pelayarannya ke Kuching dan berlabuh di Pelabuhan Pending. Hari Terbuka KD Indera Sakti dijadualkan akan berlangsung pada hari Sabtu 7 April 2018, bermula 9 pagi sehingga 6 petang.

Related Articles

Leave a Reply