Lundu, 24 Mac – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar memaklumkan dua anggota Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) dengan seorang daripadanya lengkap bersenjata ditahan ketika menaiki motosikal curi jam 3 pagi dalam kawasan Ladang Raso, Lundu, Sarawak.
Penahanan dibuat oleh tiga pegawai dan 19 anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang menjalankan rondaan dalam Ops Lejang bagi mengesan penyeludupan kenderaan curi di sempadan.
Datuk Dev Kumar memaklumkan ketika memasuki kawasan ladang itu, anggota polis ternampak sebuah motosikal datang dari arah Lundu menghala sempadan dan berjaya menyekat motosikal yang ditunggang oleh dua lelaki Indonesia yang memakai seluar celoreng TNI-AD.
“Seorang suspek membawa raifal jenis SS 1 bersama satu kelopak dan 15 butir peluru. Semakan dokumen pengenalan diri menunjukkan bahawa kedua-dua suspek itu adalah anggota TNI,” katanya.
Dev berkata, pemeriksaan lanjut mendapati motosikal yang dinaiki dua anggota TNI itu dilaporkan hilang di Sekama, Kuching tahun lalu.
“kini suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk siasatan lanjut mengikut Kanun Keseksaan, Akta Senjatapi 1960 dan Akta Imigresen,” katanya.