Home Semasa Media Sosial Platform baru rekrut pengganas

Media Sosial Platform baru rekrut pengganas

by Noor Sheila Amin

Kuala Lumpur, 13 Mac – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Masir Kujat memaklumkan seramai 249 individu tempatan dan asing yang disyaki merekrut ahli untuk aktiviti keganasan melalui media sosial. 240 individu melalui Facebook, lapan melalui Twitter manakala seorang lagi melalui Instagram, berjaya ditahan.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa tangkapan tersebut dibuat hasil risikan pihak polis dan pemantauan oleh Pusat Tindakan Mesej.

Selain penahanan, katanya sebanyak 3,871 akaun Facebook kini juga dipantau manakala 800 akaun telah disekat, di Twitter, 76 individu dipantau dan sembilan akaun disekat, manakala di Instagram, 72 individu sedang dipantau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) berkenaan usaha kerajaan dalam mengekang penyebaran fahaman keganasan di media sosial.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Shabudin, Masir berkata setakat ini 19 individu termasuk seorang warga asing sedang menjalankan program deradikalisasi di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

Program deradikalisasi dilaksanakan secara sistematik menggunakan modul deradikalisasi bersepadu untuk pengganas yang merangkumi aspek keagamaan, kewarganegaraan, psikologi, kekeluargaan dan nilai-nilai murni.

Kejayaan program ini kelak dapat dilihat apabila tahanan yang dibebaskan akan kembali kepada masyarakat dan tidak lagi terlibat dalam keganasan, katanya.

Bagi memastikan program ini berjaya, katanya, modul program tersebut sentiasa dikaji dan ditambah baik dari semasa ke semasa termasuk kerjasama dengan pihak antarabangsa melalui persidangan dan mesyuarat untuk meningkatkan kesedaran dan mencegah keganasan.

Related Articles

Leave a Reply