Home Pertahanan dan Keselamatan ATM sahut cabaran ancaman semasa

ATM sahut cabaran ancaman semasa

by M.Daim

Kota Belud, 11 Mac – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memperhebatkan keupayaan aset operasi bagi ketiga-tiga perkhidmatan darat, laut dan udara dalam menyahut cabaran semasa terutama mengekang ancaman terhadap keselamatan negara.

Pengerusi Bersama Teras Kesiapsiagaan, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, persediaan itu penting dalam dunia tanpa sempadan yang sukar dijangka akibat ancaman keselamatan berbentuk konvensional dan tidak konvensional.

“Malaysia memerlukan angkatan tentera yang sentiasa berwaspada dan bersiap sedia demi mempertahankan kedaulatan negara dan kepentingannya.

“Ini adalah intipati kepada hala tuju teras kesiapsiagaan yang memfokuskan kepada kesediaan dan keupayaan aset operasi ATM serta transformasi pengoperasian ketiga-tiga perkhidmatan darat, udara dan laut,” katanya ketika berucap dalam program demonstrasi keupayaan ATM di Lapangan Udara Kem Paradise, Kota Belud di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Mohd. Radzi Abd. Rahim; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamaed Noor dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Kira-kira  lebih 5,000 pengunjung hadir menyaksikan pameran statik dan aset seperti kenderaan perisai dan persenjataan oleh anggota keselamatan dengan lebih dekat.

Dalam pada itu, Affendi yang juga Panglima Tentera Udara berkata, perancangan rapi telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan keseluruhan jentera berada di landasan yang tepat bagi memacu ATM untuk menjadi sebuah angkatan keselamatan berkeupayaan tinggi.

Katanya, antara inisiatif yang dilakukan ialah merangkumi pemodenan kelengkapan ATM melalui program dan pelan strategik seperti Army 2 10 Plus 10 yang menyasarkan perolehan aset seperti helikopter MD350 dan kenderaan berperisai AV8 Gempita.

Related Articles

Leave a Reply