Subang, 2 Feb – Bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff membuat laporan polis terhadap pengendali laman Facebook ‘Mahathir The Legend’ kerana menyebarkan fitnah dan membuat ugutan terhadapnya.
Abdul Rahmat yang kini menjadi perunding keselamatan berkata, malam tadi salah seorang pengendali sebuah laman Facebook bernama ‘Mahathir The Legend’ telah membuat fitnah terhadapnya berhubung penerangan mengenai pemindahan Pangkalan Udara Kuala Lumpur ke Pangkalan Udara Sendayan.
‘Fitnah tersebut mendakwa saya telah ‘dilucutkan tauliah’ dan diberhentikan dari TUDM’ kata Abdul Rahmat kepada pemberita di luar balai polis USJ 8 Subang Jaya tadi.
“Saya telah bekerja sehingga hari terakhir perkhidmatan sebelum bersara pada 3 Disember 1995. Saya langsung tidak bercuti mahupun hadir kursus peralihan kerana sebagai Ketua Cawangan Provos Marsyal TUDM, saya bersama tim nukleus saya bertungkus-lumus menyiapkan penubuhan tim tersebut sebelum tarikh persaraan saya”, katanya.
Abdul Rahmat berkata telah dianugerahkan pingat Kesatria Angkatan Tentera sempena Hari Angkatan Tentera 1995 beberapa bulan sebelum persaraan saya dan sehingga kini masih kekal sebagai satu-satunya pegawai Angkatan Tentera Malaysia yang berpangkat Kapten yang menerima pingat tersebut.
Sebagai seorang Veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan secara normal, beliau juga menerima Kad Bekas Tentera dan menerima segala faedah yang diberikan oleh kerajaan.
Beliau berkata, Pegawai dan anggota yang ditamatkan perkhidmatan disebabkan kes tatatertib dan hukuman Mahkamah Tentera adalah tidak layak menerima kad tersebut. Mereka juga tidak layak menerima Pingat Jasa Malaysia yang diberikan kepada para Veteran yang berkhidmat semasa Darurat Pertama dan Kedua.
Abdul Rahmat berkata tidak kisah sekiranya mereka menggelarkan blognya sampah hanya kerana was-was tidak dapat menangkis penulisannya dengan fakta, namun Abdul Rahmat tidak memandang ringan sebarang usaha memfitnah dan mengugutnys dengan tujuan menghina peribadi dan perkhidmatannya kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.
“Oleh itu saya membuat laporan polis tersebut, bukan untuk saya membuang masa saman-menyaman, tetapi untuk pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap para pengendali laman ‘Mahathir The Legend’ agar mereka serik membuat fitnah berleluasa dan tidak menghiraukan undang-undang”, katanya.