TAPAH ROAD, 1 Okt – Sebanyak 596 unit rumah dan 10 unit kedai rakyat akan dibina bagi Program Khas Perumahan Perwira Negeri Perak (PKPPNP) di daerah Batang Padang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, projek perumahan seluas 20.2 hektar itu adalah usaha berterusan kerajaan bagi membantu anggota tentera dan polis memiliki kediaman masing-masing.
Menurutnya, sebelum ini, kerajaan negeri berhadapan kesukaran mencari tapak lokasi sesuai menyebabkan ada projek di sesetengah kawasan yang telah dikenal pasti tertangguh.
“Namun begitu, kita akan cuba mendapatkan kawasan tanah yang sesuai untuk diberikan kepada bekas tentera dan polis juga.
“Kerajaan negeri tidak pernah lupa jasa veteran tentera dan polis malah Persatuan Veteran merupakan penasihat utama untuk saling berkongsi maklumat berkaitan pembinaan projek perumahan yang bakal didirikan kelak,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pecah Tanah Program Khas PKPPNP daerah Batang Padang, di sini.
PKPPNP di Batang Padang merupakan projek kedua selepas PKPPNP di wilayah Segari, Daerah Manjung yang menyediakan 304 unit rumah teres setingkat.
Zambry berkata, pihaknya akan berbincang dengan persatuan veteran yang juga selaku penasihat dan berkongsi pandangan mengenai pelaksanaan program itu seterusnya.
Katanya, ini kerana projek itu untuk veteran dan ketika merancang, kerajaan negeri akan maklumkan kepada pihak persatuan untuk memberikan maklum balas berkaitannya.
Menurutnya, setakat ini maklum balas diberikan adalah positif kerana kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan kerjasama dan persefahaman antara kedua belah pihak.
“Mungkin ada pihak cuba bermain dengan sentimen tertentu namun saya berpesan kepada pasukan exco teruskan kerja kerana kita ingin melakukan sesuatu yang baik bukan mengambil sesuatu daripada mereka.
“Kita menggunakan dasar yang tetap digunakan untuk membantu perwira kita dan kita akan tetap teruskan sekiranya ada pihak tertentu cuba bermain dengan sentimen paling penting kita akan tetap terus membuat kerja,” katanya.