Home Pertahanan dan Keselamatan Layanan adil ATM terhadap wanita cermin kesaksamaan gender

Layanan adil ATM terhadap wanita cermin kesaksamaan gender

by Air Times News Network

Mej Patricia Yapp Syau Yin TUDM (Foxy) dianugerahkan Wanita Cemerlang Sabah 2017 oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman

 

KOTA KINABALU, 25 Sept – Layanan adil tentera Malaysia terhadap pegawai dan kakitangan wanita mencerminkan amalan kerajaan dalam kesaksamaan gender, kata juruterbang jet pejuang wanita pertama Malaysia.

Mejar Patricia Yapp Syau Yin, 41, daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, beliau dapat merealisasikan impiannya untuk menerbangkan jet pejuang kerana minatnya dalam kerjaya penerbangan selain disokong oleh komitmen dan disiplin tinggi untuk berjaya dalam dunia lelaki itu.

“Tentera memberi layanan yang sama kepada wanita dan lelaki, dan ini sesuatu yang dapat kita lihat dalam kerajaan yang mana lelaki dan wanita sama-sama memegang jawatan tinggi.

“Tetapi, ini semua tentang minat dan komitmen anda dan yang paling penting adalah keberkatan daripada Tuhan yang akan membantu anda untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Wanita Cemerlang Sabah pada sambutan Hari Wanita peringkat negeri di sini, malam tadi.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman menyampaikan anugerah itu kepada Yapp, yang turut membawa pulang wang tunai RM5,000, sebuah trofi dan sijil.

Ibu kepada dua orang anak itu, yang mana suaminya turut berkhidmat dalam TUDM, juga menyatakan cita-citanya untuk menjadi bukan sahaja angkasawan wanita pertama Malaysia, tetapi juga dari Sabah, dan telah memulakan persediaan untuk mencapai impiannya itu.

Yapp yang berkhidmat dengan TUDM selama 20 tahun, mula menerbangkan jet pejuang sejak 2003 dan merupakan juruterbang wanita pertama Asia yang layak menerbangkan Mikoyan MiG-29 buatan Rusia.

Beliau yang kelihatan mesra dengan berpakaian seragam juruterbang, menerima tepukan gemuruh daripada hadirin semasa naik ke pentas untuk menerima anugerah, yang turut ingin bergambar dengannya selepas selesai majlis itu.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply