JEDDAH, 22 Sept – Semangat patriotik yang membara membanjiri beberapa tempat di Arab Saudi hari ini telah mendahului Hari Kebangsaan yang ke-87 negara itu yang akan disambut pada 23 September ini. Poster-poster besar yang memaparkan gambar Raja Salman dan puteranya, Putera Mahkota Mohammad Bin Salman dilihat menghiasi bangunan-bangunan di sekitar bandar Jeddah, manakala bendera kebangsaan turut dipasang di setiap perumahan dan kenderaan penduduk setempat. Tidak ketinggalan pusat membeli belah yang turut diterangi dengan cahaya berwarna hijau selain mengibarkan bendera mini negara itu di setiap penjuru. Kanak-kanak pula dilihat keriangan bermain dengan mengenakan pakaian berwarna hijau dan putih dengan suasana yang sungguh meriah bersama alunan muzik dari lagu-lagu patriotik didengari dari kenderaan yang membanjiri sekitar bandar itu.
Memetik laporan Gulf News dalam temubualnya bersama penduduk setempat, Abrar Abdul Lateef, seorang usahawan muda, menzahirkan rasa bangga kerana hidup dalam sebuah negara yang hebat, selamat serta menyediakan kemudahan kesihatan dan pendidikan yang baik untuk warganya. “Saya terhutang budi kerana menerima biasiswa Raja Abdullah yang ditawarkan untuk rakyat Saudi dan terpilih untuk meneruskan pengajian di Amerika Syarikat pada tahun 2010″.
Bagi Abdul Aziz Sulaiman, seorang pelatih juruterbang, berkata. “Saya berbangga dengan wawasan 2030 yang dilaungkan kerajaan di mana ianya memperlihatkan satu rancangan wawasan bagi masa depan negara”. Manakala, Hashim Alawi yang merupakan pelajar tahun ketiga dalam bidang perubatan, berkata. “Saya bangga dengan kerajaan yang mengambil langkah kepada mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk kaum lelaki dan wanita Saudi”.
Amal Azhar, warganegara Sri Lanka yang berhijrah mencari rezeki ke Jeddah turut merasakan semangat itu. Baginya, Arab Saudi merupakan sebuah negara yang baik dan selamat untuk membesarkan anak-anaknya kerana terhindar dari gejala sosial seperti penyalah gunaan dadah, pengambilan alkohol dan sebagainya. Ini kerana gaya hidup di sini yang menghadkan pendedahan remaja kepada aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral itu.
Wawasan 2030 Arab Saudi yang diilhamkan oleh Putera Mahkota Mohammad Bin Salman bertujuan untuk menambah guna tenaga dan mempelbagaikan hasil negara. Beberapa perubahan terancang bakal dilaksanakan, seperti menambah jumlah tenaga kerja wanita kepada 28 peratus dari 23 peratus dan menggandakan 5 peratus kewujudan mereka dalam perkhidmatan awam yang akan mengubah warganya di mana sektor tersebut dimonopoli oleh kaum lelaki sebelumnya. Pihak berwajib juga amat mengambil berat ke atas keluarga tentera yang berjuang dalam operasi di Yaman. – Gulf News
