KUALA LUMPUR, 21 Jan – Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin antara Malaysia dan Singapura (VTL) dibuka semula berkuat kuasa hari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam kenyataannya memaklumkan, buat masa ini kuota tiket yang dijual bermula 21 Januari akan dikurangkan kepada 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.
“Bagaimanapun bagi penumpang telah pun membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini walaupun akan melebihi kuota yang ditetapkan garis masa,” katanya pada Jumaat.
Menurutnya, garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket akan bergantung kepada penilaian risiko.
“Penilaian risiko akan dilakukan dari semasa ke semasa di kedua-dua negara,” jelas Khairy.
Beliau berkata, selaras dengan pengumuman itu, pengembara diingatkan mengenai keperluan melaksanakan ujian pantas antigen kendiri (RTK-Ag) pada hari kedua dan keempat serta keenam selepas ketibaan.
“Ujian RTK-Ag profesional turut perlu dilakukan pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan,” katanya.
Khairy berkata, semua pengembara disaran agar bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Lakukan ujian pengesanan COVID-19 mengikut ketetapan yang digariskan bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain,
“Ia juga bagi memastikan perjalanan rentas sempadan melibatkan skim VTL Malaysia-Singapura ini dapat terus dilaksanakan dengan selamat,” tambahnya.
Pada 23 Dis 2021 yang lalu, Malaysia dan Singapura memutuskan untuk menggantung penjualan tiket VTL udara dan darat susulan ancaman varian Omicron COVID-19. -airtimes.my