Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, proses pengundian awal itu akan bertempat di Mes Pegawai Bukit Aman serta seluruh Ibu Pejabat Kontijen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara.

“Seramai 5,660 anggota akan membuang undi awal di Bukit Aman manakala baki 106,042 anggota lagi dijangka membuang undi awal mereka di IPD serta IPK seluruh negara.

“Proses pengundian awal akan bermula sekitar pukul 9 pagi hingga 5 petang dan akan turut dihadiri oleh calon parti politik yang bertanding bagi melihat sendiri proses pengundian awal dijalankan,” katanya pada Sidang Akhbar Khas di Bukit Aman di sini sebentar tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab.

Sementara itu, seramai 7,695 pesara polis dijangka akan turut menghadirkan diri bagi membuang undi awal di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan.

“Pesara-pesara polis ini merupakan mereka yang telah tamat perkhidmatan dengan PDRM namun masih belum mengisi borang untuk mengundi sebagai pengundi awam dan masih didaftarkan sebagai pengundi awal,” katanya.

Turut dijangka hadir membuang undi awal pada esok hari ada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Tan Sri Ismail Omar.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, seramai 5,854 warga PDRM terlibat dalam proses pengundian secara pos atau undi pos yang dijalankan selama dua hari bermula hari ini hingga esok.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 4,058 membabitkan warga PDRM di 14 kontinjen seluruh negara manakala 1,796 lagi akan membuang undi secara pos di Bukit Aman,” katanya.