KUALA LUMPUR, 5 Okt – Menangani anasir subversif yang boleh menggugat jati diri negara bangsa merupakan antara aspek pemeliharaan kedaulatan negara.
Menurut Buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, itu antara empat prinsip Demokrasi dan Kestabilan yang penting untuk ditekankan.
Prinsip yang lain adalah pemerkasaan keselamatan negara dalam semua aspek, pengasingan kuasa yang jelas antara pemerintah, perundangan dan kehakiman dan pemupukan rasa tanggungjawab bersama dalam memelihara kestabilan negara.
Buku tersebut juga menyebut definisi demokrasi dan kestabilan adalah menyuburkan amalan demokrasi dalam pentadbiran negara di samping mempertahankan kedaulatan negara dan meningkatkan kawalan serta pengawasan sempadan daripada sebarang ancaman.
Ia menjelaskan, pentadbiran negara adalah berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjamin hak kebebasan rakyat sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, keselamatan rakyat juga terus dilindungi menerusi penguatkuasaan undang-undang secara tegas dan adil selain keutuhan sempadan dan kedaulatan negara adalah penting dalam memastikan Malaysia kekal aman, makmur dan stabil.
“Keadaan ini hanya akan dapat dikecapi apabila sesuatu dasar yang diperkenalkan mampu dihormati dan diterima oleh semua lapisan masyarakat,” menurut buku tersebut.
Dalam mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan negara, dasar yang digubal perlu memberi penekanan kepada aspek kedaulatan negara, keselamatan negara, kematangan rakyat, pemilikan rasa tanggungjawab bersama dan keseimbangan hak dan tanggungjawab.
“Demokrasi dan kestabilan bukan sahaja memelihara mandat institusi kerajaan tetapi juga hak rakyat sebagai pengundi.
“ Pengasingan kuasa dalam kerajaan, iaitu kuasa pemerintah, perundangan dan kehakiman seharusnya lebih jelas dalam memainkan peranan masing-masing dalam memastikan dasar yang digubal adalah untuk keamanan, kemakmuran dan kestabilan negara serta kemaslahatan rakyat,” menurut buku itu. –Bernama