KUALA LUMPUR, 29 Okt – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Masyati Abang Ibrahim untuk meluluskan segera pendaftaran parti itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Amiruddin Hamzah berkata setelah lebih 2 bulan permohonan bertulis dan atas talian lengkap dikemukakan kepada RoS, namun sehingga kini masih belum ada tanda-tanda PEJUANG akan diluluskan.
Menurutnya, PEJUANG telah membuat 7 permohonan malangnya tidak mendapat jawapan bertulis dari Hamzah mahupun pihak RoS.
“Situasi permohonan PEJUANG amat berbeza dengan pendaftaran dua buah parti lain antaranya Parti Makkal Sakti Malaysia yang diluluskan dalam tempoh masa 2 minggu manakala Perikatan Nasional (PN) pula diluluskan dengan kadar segera dalam proses yang amat meragukan,
“Oleh demikian, pihak Jawatankuasa Penaja PEJUANG sekali lagi ingin Hamzah dan Masyati untuk membuat keputusan segera dan jelas agar pendaftaran PEJUANG diluluskan mengikut prinsip undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, 3 bulan tanpa sebarang jawapan bertulis adalah tidak munasabah dan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa RoS kini kembali menjadi ‘alat kerajaan’ bermotifkan politik sehingga menimbulkan kecurigaan di kalangan rakyat. – airtimes.my