KUALA LUMPUR, 2 Sept – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 26 warga asing kerana terlibat aktiviti pelacuran dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dalam beberapa serbuan berasingan di Pudu, Puchong dan Cyberjaya dalam Operasi Merdeka, bermula 31 Ogos hingga semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi pertama pada 31 Ogos dijalankan di sebuah hotel lama yang dikenalpasti sebagai kawasan ‘hotspot’ untuk aktiviti pelacuran di Pudu.
“Premis ini telah berulang kali diserbu agensi penguatkuasaan tetapi masih didapati menjalankan aktiviti tidak bermoral melibatkan warga asing,
“Seramai 12 orang warga asing telah ditahan yang terdiri daripada 5 orang wanita warganegara Vietnam dan 7 lelaki warganegara Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Khairul Dzaimee berkata, operasi seterusnya pada 1 September pula di kawasan Puchong melibatkan pemeriksaan ke atas dua buah premis kediaman.
“Seramai 21 orang individu telah diperiksa dan hasilnya seramai 12 orang warga asing yang terdiri daripada 5 lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki dan 6 wanita warganegara Indonesia telah ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pas yang sah semasa pemeriksaan dilakukan,” ujarnya.
Seterusnya, dalam operasi berasingan di sebuah kelab komuniti, di kawasan Cyberjaya pada 1 September, seorang lelaki Ghana dipercayai pekerja kelab komuniti terjun ke tasik bersebelahan premis itu dalam usaha mengelak ditahan.
“Pegawai operasi terpaksa terjun ke dalam tasik untuk menahan warga asing tersebut. Kedua-dua lelaki warganegara Ghana ini ditahan kerana gagal mengemukan sebarang dokumen atau pas yang sah semasa pemeriksaan,” jelasnya.
Menurut Khairul Dzaimee, sepanjang operasi ini seramai 26 warga asing berjaya ditahan dan 4 warga tempatan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk disiasat diatas pelbagai kesalahan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya lagi. – airtimes.my