SANDAKAN, 17 Sept – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Markas Pemerintahan Armada Timur dan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah melaksanakan Latihan Perang Borneo Siri 7/22 pada 14 hingga 16 September lalu di Perairan Sandakan.
MAWILLA 2 dalam hantaran di media sosialnya berkata, latihan ini bagi menguji tahap kesiapsiagaan tempur aset-aset dan warga Armada TLDM serta unit-unit sokongan di bawah naungan dalam menghadapi pelbagai situasi ancaman termasuk kecemasan.
“Latihan yang dilaksanakan selama 3 hari ini telah dimulakan dengan fasa pelabuhan di MAWILLA 2 pada 14 September,
“Seterusnya, latihan fasa laut yang dilaksanakan pada 15 September pula melibatkan 6 buah kapal TLDM iaitu Kapal Diraja (KD) SELANGOR, KD KERIS, KD SERANG, KD BAUNG, KD GANAS dan KD TODAK,” katanya.
Menurutnya, kapal yang terlibat telah belayar keluar ke kawasan latihan dalam keadaan bertindak dan diuji dengan beberapa siri latihan yang melibatkan aspek peperangan maritim, komunikasi, ilmu kelautan serta navigasi.
“Latihan dilaksanakan bertujuan menguji tahap kewaspadaan dan kesiapsiagaan kru kapal dalam menghadapi pelbagai situasi gentir sama ada dari atas atau bawah permukaan air,
“Latihan ini juga merupakan platform terbaik bagi melatih warga melaksanakan tugas dalam situasi kritikal tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak COVID-19,” ujarnya.
Katanya, kejayaan latihan ini membuktikan keupayaan warga dan aset-aset Armada TLDM di bawah naungan Markas Pemerintahan Armada Timur serta MAWILLA 2 dalam memenuhi keperluan operasi selain sebagai landasan memperagakan kehadiran aset pertahanan negara di Zon Maritim Malaysia (ZMM) Sabah.
“Pelaksanaan latihan ini secara tidak langsung telah memberi impak yang positif kepada komuniti maritim di Pantai Timur Sabah dalam meningkatkan keyakinan mereka terhadap kemampuan dan komitmen TLDM mengekalkan kestabilan serta kedaulatan perairan negara,” jelasnya. – airtimes.my
Galeri gambar: