KUALA LUMPUR, 5 Jan -Polis merampas 1,127 unit mesin simulator judi online bernilai RM2.7 juta dalam serbuan di sebuah gudang dua tingkat di Pusat Perniagaan Bukit Serdang, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang selepas membuat risikan sejak dua hari lalu hasil maklumat daripada orang awam.
“Walau bagaimanapun, gudang ini didapati tidak berpenghuni ketika serbuan dilakukan sebaliknya hanya longgokan kotak mengandungi bahagian-bahagian mesin simulator.
“Siasatan awal mendapati mesin-mesin simulator judi dalam talian ini dipercayai untuk dibekalkan ke lebih 1,000 premis judi dalam talian di seluruh negara.
“Mesin-mesin simulator ini diimport dari luar negara dan dianggarkan sudah disimpan di dalam gudang ini kira-kira dua bulan lalu,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di Taman Bukit Serdang, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, rampasan itu merupakan serbuan terbesar setakat ini membabitkan mesin simulator judi dipercayai digunakan untuk aktiviti judi dalam talian.
Tambah Ismadi, pihaknya sedang giat mengenal pasti dalang di sebalik sindiket ini termasuk pemilik gudang kerana dipercayai gudang berkenaan adalah tempat simpanan dan baik pulih mesin-mesin tersebut.
Ismadi berkata kesemua rampasan akan diserahkan kepada pihak kastam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang-barang larangan.
Sabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.