GERIK, 23 JUN – Program jiwa murni kekal menjadi pendekatan strategik dalam merapatkan hubungan antara tentera dan masyarakat pedalaman dengan pelaksanaan untuk memenangi hati rakyat.
Ia juga meningkatkan keyakinan rakyat terhadap peranan dan tanggungjawab ATM.
Inisiatif ini dilakukan Markas 4 Divisyen apabila melaksanakan program jiwa murni di Kampung Bunga Hilir, Sungai Kejar di sini dengan penglibatan kira-kira 400 orang melibatkan kerjasama pelbagai agensi.
Selain kebajikan, aspek kesihatan turut diberikan penekanan dalam Program Jiwa Murni Peringkat 4 Divisyen di Kampung Bunga Hilir, Sungai Kejar. /Gambar: Markas 4 Divisyen
Program ini merupakan antara inisiatif strategik Kementerian Pertahanan yang menekankan pengukuhan hubungan tentera-awam menerusi pendekatan Gerak Saraf dan Perang Saraf.
Pelaksanaanya yang mengaplikasikan konsep Whole of Government Whole of Society (WOGOS) ini turut memberi fokus kepada aspek kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Pendekatan ini membuktikan bahawa usaha membangunkan masyarakat dan memperkukuh keselamatan negara merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak secara bersepadu dan berterusan.
Program Jiwa Murni merupakan antara medan dan peluang di antara masyarakat serta tentera untuk mengeratkan hubungan. /Gambar: Markas 4 Divisyen
Secara tidak langsung, ia menjadi platform terbaik dalam meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ATM di samping menyemai semangat kebersamaan dan perpaduan.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program termasuk khidmat kesihatan, pendidikan kesihatan dan pergigian, program kebajikan, gotong-royong serta sukaneka.
Tidak ketinggalan kerja-kerja baik pulih kemudahan komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk Kampung Bunga Hilir.
Turut serta dalam pemeriksaan kesihatan warga Kampung Bunga Hilir adalah petugas-petugas kesihatan Daerah Pangkalan Hulu.
 Program Jiwa Murni Peringkat 4 Divisyen di Kampung Bunga Hilir turut melibatkan pelbagai pihak termasuk para petugas kesihatan Daerah Pangkalan Hulu. /Gambar: Markas 4 Divisyen
Selain memperkukuhkan kerjasama antara Tentera Darat Malaysia dan masyarakat, program ini turut menyokong usaha kerajaan dalam menyantuni komuniti pedalaman.
Panglima 4 Divisyen, Mej Jen Mohd Shauari Mat Piah dalam ucapannya mengharapkan pelaksanaan program ini dapat terus menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat antara Tentera Darat Malaysia dengan masyarakat.
Ini seterusnya menyemai semangat kerjasama dan persefahaman demi kesejahteraan serta keselamatan negara.
Penglibatan pelbagai pihak dalam program yang dianjurkan oleh Markas 4 Divisyen baru-baru sekaligus membuktikan konsep WOGOS yang sedang diterapkan di peringkat kebangsaan. /Gambar: Markas 4 Divisyen
Program ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk kehadiran Exco Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Salbiah Mohamed yang juga ADUN Temengor.
Program ini turut disokong oleh JAKOA dan disertai oleh Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (RIMAU) yang bersama-sama menjayakan inisiatif kemasyarakatan dan pemeliharaan alam sekitar melalui penglibatan aktif bersama komuniti setempat. – airtimes.my




