KUALA LUMPUR, 6 Jul – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien mengarahkan Rejimen Jurutera DiRaja (RAJD) untuk membina Jambatan Compact Bailey yang menghubungkan Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi yang roboh akibat banjir pada Isnin lepas.
Beliau dalam hantaran di media sosialnya berkata, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid telah menghubunginya untuk memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membina jambatan yang roboh.
“Saya telah arahkan RAJD segera ke lokasi untuk tinjauan bagi kerja-kerja pembinaan jambatan secepat mungkin,
“Anggota-anggota RAJD dah turun pagi tadi,” katanya.
Terdahulu, jambatan tersebut roboh akibat dibawa arus deras berikutan hujan lebat berterusan selama 3 jam sehingga menyebabkan banjir. – airtimes.my