PUTRAJAYA, 15 JUN – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan isu pengurusan pelarian di Malaysia bukan isu baharu, sebaliknya isu legasi yang telah berlarutan sejak sekian lama dan diwarisi merentasi pelbagai pentadbiran.
Beliau berkata, keadaan itu bagaimanapun tidak dijadikan alasan untuk kerajaan berpeluk tubuh atau mengelak daripada mengambil tindakan terhadap isu berkenaan.
“Isu ini bukan isu baharu. Ia merupakan isu legasi yang telah berlarutan sejak sekian lama dan diwarisi merentasi pelbagai pentadbiran. Namun, hakikat bahawa ia adalah isu legasi tidak pernah dijadikan alasan untuk kerajaan berpeluk tubuh atau mengelak daripada bertindak,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Menurut Saifuddin, Kerajaan MADANI memilih untuk mengurus isu itu secara bertanggungjawab, berhemah dan berasaskan fakta.
Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, beliau berkata keutamaan kerajaan kekal jelas, iaitu memastikan keselamatan rakyat dan negara terus terpelihara, di samping mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud.
Beliau berkata, antara cabaran terbesar dalam pengurusan pelarian selama ini ialah ketiadaan data yang lengkap, tepat dan dimiliki Kerajaan Malaysia sendiri mengenai individu yang berada dalam kategori pelarian.
Sehubungan itu, Saifuddin berkata kerajaan sedang melaksanakan proses pengumpulan data dan maklumat biometrik yang lebih menyeluruh.
“Kita tidak boleh mengurus apa yang kita tidak kenal. Kita tidak boleh melindungi keselamatan negara tanpa mengetahui dengan tepat siapa yang berada dalam sempadan negara kita,” katanya.
Menurut beliau, data yang tepat akan membolehkan kerajaan mengurus pelbagai isu berbangkit dengan lebih berkesan, termasuk dari sudut keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, kesihatan awam, pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Pada masa sama, Saifuddin menegaskan status pelarian bukan lesen untuk melanggar undang-undang Malaysia.
Beliau berkata, mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah atau melanggar undang-undang negara tetap akan berdepan tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan sewajarnya.
“Kerajaan tidak melindungi pelaku jenayah. Kerajaan juga tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara,” tegasnya.
Saifuddin berkata, langkah yang sedang dilaksanakan kerajaan bertujuan memastikan Malaysia mempunyai keupayaan lebih baik untuk mengurus satu realiti yang telah lama wujud dalam negara.
“Matlamatnya bukan untuk melindungi pelarian, tetapi untuk melindungi kepentingan negara, keselamatan rakyat dan ketenteraman awam,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan penglibatan ahli akademik, aktivis masyarakat sivil, badan pemikir, pengamal undang-undang, pakar keselamatan serta pihak berkepakaran untuk mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung isu pengurusan pelarian.
Saifuddin berkata, rakyat Malaysia mampu membincangkan isu tersebut secara matang, rasional dan bertanggungjawab demi kepentingan negara. -airtimes.my
