SEMPORNA, 4 Apr – Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya merampas barang kawalan yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran di sekitar Laut Tampi-Tampi Semporna, pada Ahad.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan PPM Semporna, Deputi Superintenden Polis (DSP) Mohamad Ismail berkata, pada jam lebih kurang 6.30 petang, anggotanya telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.
“Setelah mengenalkan diri sebagai pegawai Polis, juragan tersebut bertindak melarikan diri ke kawasan cetek seterusnya terjun dari perahu ke kawasan paya bakau,
“Hasil pemeriksaan menjumpai beberapa jerikin dengan setiap satu mengandungi 30 liter minyak petrol yang disyaki hendak diseludup ke negara jiran Filipina,” katanya menerusi hantaran di media sosial PPM Wilayah 4 Sabah.
Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM17,838 dan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya. – airtimes.my
