Moscow, 21 April – Russia akan menayangkan rakaman video temuramah dengan kanak-kanak Syria kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang didakwanya berlakon sebagai mangsa serangan senjata kimia di Douma, Syria.
Menurut Moscow, rakaman video itu menyokong dakwaannya bahawa serangan kimia di bandar Douma, Ghouta, adalah palsu.
Televisyen milik kerajaan Russia hari ini, menyiarkan temubual dengan kanak-kanak lelaki Syria dikenali sebagai Hassan Diab, berusia 11 tahun.
Russia mendakwa budak berkenaan menjadi ‘pelakon’ dalam tuduhan pertubuhan agensi pertahanan awam, White Helmets.
“Kami sudah mempunyai versi sarikata temuramah itu dan sedang mengedarkannya kepada negara anggota (Majlis Keselamatan PBB) dan wartawan.
“Pada mesyuarat Majlis Keselamatan akan datang, kami mencari jalan untuk menayangkannya,” kata Duta Russia ke PBB, Vassily Nebenzia memberitahu saluran televisyen Rossiya 1, hari ini.
Dalam rakaman itu, lelaki bernama Hassan yang dikatakan bapa Diab, berkata anaknya diberi ‘kurma, kek dan beras’ untuk berlakon dalam ‘serangan’ itu.
Barat menuduh regim Presiden Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia terhadap orang awam di Douma, pada 7 April lalu.
Berikutan itu, Amerika Syarikat, Perancis dan Britain menyerang beberapa sasaran di Syria, termasuk Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Sains dengan Damsyik yang didakwa mencipta dan mengeluarkan senjata kimia.
Russia sebelum ini mendakwa White Helmets memalsukan serangan senjata kimia itu dengan sokongan Britain bagi membolehkan Barat bertindak.