KUALA LUMPUR, 20 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkasa kawalan sempadan negara menerusi penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) selain dron di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata pemasangan CCTV ketika ini sudah dilakukan namun ia terhad seperti di kawasan Padang Besar, Perlis yang jaraknya kira-kira enam kilometer sahaja.
Beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan bagi meletakkan CCTV di kawasan-kawasan tertentu atau hotspot yang telah dikenal pasti memandangkan kos untuk meletakkan CCTV di sepanjang kawasan sempadan adalah tinggi.
“Sebenarnya ada (kawasan) yang telah dipasangkan CCTV yang hasilnya kita akan dapat sepertimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (beberapa tahun lepas) menunjukkan gambar terdapat anggota keselamatan yang terlibat membantu penyeludup,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.
Abdul Rahim berkata dengan teknologi dron pula, pihaknya dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga manusia sebanyak satu batalion iaitu kira-kira 500 anggota dan tidak memerlukan sejumlah anggota yang ramai bagi menjaga serta mengawal sempadan negara.
“Dron akan terbang 24 jam dengan membuat kawalan keselamatan. Jadi, setiap apa yang berlaku, ia akan salurkan sebarang informasi kepada pusat gerakan untuk diambil tindakan,” katanya.
Tambahnya, selain penggunaan dron dan CCTV, teknologi seperti penggunaan radar akan digunakan khusus di kawasan perairan sempadan Sabah bagi meningkatkan kawalan.
Selain itu, Abdul Rahim berkata pihaknya akan menambah jumlah keanggotaan bagi kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak berikutan langkah kerajaan Indonesia ingin menjadikan Borneo sebagai ibu negara baharu negara itu bagi menggantikan Jakarta selain bertujuan mengatasi kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.
“PDRM akan tambah satu briged di Sabah dan menempatkan satu batalion di Keningau, Kudat dan Kunak. Kita (polis) juga ada buat tambahan batalion di Sarawak,” katanya.- Bernama