Ipoh, 2 Okt — Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat laporan polis selepas mengalami kecederaan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan.
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata dua anggota tersebut yang masing-masing berumur 30 tahun cedera di bahagian abdomen dan kini dirawat di Hospital Manjung.
“Laporan polis dibuat hari ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan.
Pihak polis sedang menjalankan siasatan sama ada insiden ini berlaku ketika di dalam bilik tahanan, ketika dikurung atau di luar.
“Kita juga akan menyiasat sekiranya ada lagi anggota TLDM terlibat dengan insiden seperti ini,” katanya kepada pemberita.
Beliau menghadiri Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri di sini hari ini.
Susulan kejadian itu, dua anggota TLDM yang masing-masing berumur 29 dan 37 tahun kini sedang ditahan dan akan direman di Mahkamah Seri Manjung hari ini.
Mengenai kematian dua anggota TLDM di bilik tahanan yang sama sebelum ini, Hasnan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan forensik terhadap kamera litar tertutup yang telah dirampas.
“Jabatan Siasatan Jenayah Perak kini dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bagi menyiasat insiden ini,” katanya.
Pada Jumaat lepas dua anggota TLDM iaitu LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan tersebut dipercayai akibat didera, berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Muhammad Lailatuliman meninggal akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.
Susulan itu tiga anggota TLDM direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan.