SUBANG, 4 Dis – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima dua buah helikopter AW189 daripada syarikat Agusta Westland Malaysia Sdn Bhd (AWM) yang mula beroperasi secara rasmi hari ini.
Menurut Utusan Online, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, helikopter berharga RM105 juta setiap satu akan digunakan untuk misi menyelamat di seluruh negara.
“Dua buah helikopter baharu ini adalah penambahan kepada tujuh buah helikopter JBPM sebelum ini.
“Helikopter yang mempunyai ruang kabin terbesar dalam kelasnya ini mampu memuatkan sebanyak 18 penumpang dan dua juruterbang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Helikopter AW189 JBPM di Agusta Westland Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Penambahan ini menjadikan pemilikan helikopter JBPM kepada sembilan buah.