KUALA LUMPUR, 10 Sept – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara Pentadbiran (PKPDP) di daerah Kota Setar, Kedah mulai tengah malam ini sehingga 25 September.
Menurutnya, Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini telah memutuskan untuk melaksanakan juga PKPDP secara pentadbiran di Penjara Tawau mulai tarikh yang sama.
Mengenai PKPDP di Kota Setar, ia dibuat dengan mengambil kira kes Kluster Sungai dan Telaga serta cadangan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
“PKPDP ini melibatkan 366,787 penduduk di 28 Mukim di Daerah Kota Setar,
“Keluar masuk daerah adalah dilarang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya dan kawalan di jalan keluar masuk daerah,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Bukit Kayu Hitam, Kedah juga dihentikan sehingga tamat PKPD pentabiran ini.
Manakala PKPDP di Penjara Tawau, ia dilaksanakan dengan mengambil kira penularan kes jangktian positif COVID-19 di kawasan berkenaan.
“PKPDP ini melibatkan banduan, 114 anggota dan 355 ahli keluarga Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Tawau,
“Pergerakan keluar masuk penjara adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPD Pentadbiran termasuk pelawat dan ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, PKPDP di Aman Jaya yang berakhir hari ini dilanjutkan selama 3 hari lagi sehingga 13 September 2020 bagi memastikan semua yang terlibat disaring oleh anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – airtimes.my