Peristiwa konflik Hamas-Israel pada 7 Oktober 2023 telah menarik perhatian dunia dengan serangan yang dilakukan oleh Hamas ke atas Israel yang membabitkan orang awam dan tentera. Rentetan serangan ini, Hamas telah dipromosikan sebagai kumpulan pengganas oleh beberapa pihak di peringkat global.
Terma pengganas ini juga turut menarik perhatian Malaysia apabila ianya secara tidak langsung turut dihadapi oleh negara ini. Malah terdapat gesaan daripada pegawai tinggi kerajaan iaitu Mufti Perlis pada 9 Februari 2019 agar definisi pengganas perlu diperjelaskan agar ianya tidak disalahertikan ke atas Islam.

Di peringkat antarabangsa, beberapa pihak telah melabelkan Hamas sebagai pengganas.
Namun sehingga 2023, masih belum terdapat definisi yang jelas mengenai ekstremisme, radikalisme dan pengganas. Istilah ekstremisme ganas (violent extremism) mula digunakan berikutan perlaksanaan Resolusi 2178 (2014) yang dibuat di bawah Bab VII Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengaitkan tindakan ini sebagai “sesuatu yang cenderung kepada terrorisme, pegangan fahaman ganas, dan arahan melakukan tindakan ganas (something conducive to terrorism, sectarian violence, and commission of terrorist acts).
Dalam menentukan melalui perundangan individu atau kumpulan sebagai pengganas adalah berdasarkan tindakan atau perbuatan seseorang yang melakukan elemen keganasan. Ia adalah selaras dengan definisi yang digunakan oleh FBI yang mana ia merujuk kepada “penggunaan kekerasan atau keganasan yang menyalahi undang-undang terhadap orang atau harta benda untuk menakut-nakutkan atau memaksa kerajaan atau penduduk awam untuk mencapai objektif politik atau sosial”.

Sehingga kini, masih belum terdapat definisi yang jelas mengenai ekstremisme, radikalisme dan pengganas.
Persoalannya, sekiranya seseorang itu tidak atau belum lagi melakukan keganasan, maka apakah kategori yang boleh diletakan ke atas individu atau kumpulan berkenaan?
Adakah mereka itu dikategorikan sebagai ekstremis atau radikal? Amalan yang dilakukan oleh negara dan antarabangsa adalah dengan meletakan kategori ekstremisme/radikalisme bagi individu atau kumpulan yang berkaitan dengan keganasan.
Sekiranya senario ini tidak dikaji dengan mendalam ia akan menjadi beban kepada kerajaan atau badan berkuasa dan seluruh dunia untuk mengenal pasti kelompok sebenar yang berpotensi melakukan keganasan kerana kategori ekstremisme/radikalisme adalah kelompok sasaran yang besar.
Sekiranya merujuk kepada pelbagai perundangan antarabangsa dan undang-undang Malaysia sendiri yang membabitkan pengganas dan keganasan, aspek ekstremisme dan radikalisme tidak dinyatakan dengan jelas dan tidak memiliki ketetapan.
Sebaliknya perundangan antarabangsa dan Malaysia lebih mengambil jalan ringkas dengan menumpukan kepada “end point” iaitu pengganas adalah individu yang melakukan keganasan tanpa menyentuh aspek ekstremisme dan radikalisme.
Justeru mengikut perundangan persoalan mengenai siapakah pengganas atau apa definisi pengganas akan merujuk kepada perbuatan ganas yang dilakukan oleh individu atau kumpulan.
Pelbagai perdebatan terhadap definisi yang membabitkan ekstremisme ganas yang diperkenalkan oleh AS dan PBB. Berdasarkan kajian mengenai ekstremisme, radikalisme dan pengganas yang dijalankan terdapat beberapa kelemahan yang perlu dikaji secara mendalam.
Bagaimana dengan ekstremisme dan radikalisme?
Sehingga kini AS, PBB, Eropah dan ASEAN gagal menetapkan definisi tetap dalam menghuraikan ekstremis ganas dan radikalisme yang menyebabkan timbulnya persoalan mengenai kesan terhadap operasi pihak berkuasa dalam pengawasan dan pemantauan terhadap individu atau kumpulan yang diletakan sebagai “ekstremis/radikalisme”. Persoalannya, bagaimana pula dengan golongan ekstremisme dan radikalisme?
Kegagalan menetapkan garis perbezaan antara ekstremisme dengan radikalisme akan memberikan kesan kepada operasi pihak berkuasa kerana golongan ekstremisme dan radikalisme merangkumi jumlah yang ramai. Ini menyebabkan pihak berkuasa Malaysia dan di seluruh dunia menghadapi cabaran yang besar dan perlu memberikan perhatian penuh dalam mengenal pasti potensi ancaman, pemantauan dan pengawasan golongan ekstremis dan radikalisme melakukan keganasan.
Berdasarkan kajian yang dibuat, dalam usaha memudahkan operasi membasmi, menguruskan pengganas, pengawasan, pemantauan, gerak kerja dan membuat keputusan maka pihak berkuasa dan agensi keselamatan perlu memiliki kriteria, justifikasi dan klasifikasi khusus agar memudahkan urusan operasi pihak berkuasa.
Ini kerana adalah sukar untuk mengambil tindakan ke atas golongan ini kerana belum lagi melakukan keganasan. Setiap negara perlu memiliki definisi atau ketetapan yang jelas agar ia dapat memudahkan operasi pemantauan dan pembasmian pengganas di negara masing-masing.

Istilah pengganas berbeza di peringkat dunia berikutan atas beberapa faktor termasuk politik dan demografi.
Ini kerana setiap negara lebih memahami senario sebenar demografi, budaya, fahaman, ideologi, pentadbiran kerajaan, negara masing-masing berbanding negara dan kuasa luar. Agak sukar bagi badan antarabangsa, Eropah dan AS untuk mengeluarkan satu ketetapan definisi ekstremisme dan radikalisme yang dapat diguna pakai oleh negara di seluruh dunia kerana setiap negara memiliki perbezaan dari pelbagai sudut politik, ekonomi sosial, keselamatan dan pertahanan yang berbeza-beza.
Berdasarkan kajian, secara umumnya ekstremisme ganas adalah dikaitkan dengan minda, nurani, ajaran, ideologi, fahaman, taksub, melampau dan luar kebiasaan. Walaupun terdapat beberapa pihak yang mengaitkan ekstremisme ganas dengan perlakuan (perbuatan) ia sebenarnya tidak tepat kerana sekiranya sesuatu perlakuan ekstremisme ganas dilakukan ia sesuatu perbuatan yang telah berlaku atau telah dibuat maka ia tidak lagi berada dalam kelompok ekstremisme sebaliknya ia tergolong dalam kelompok pengganas.
Justeru, ekstremisme adalah berkaitan dengan nurani, minda hasil daripada fahaman, ajaran, ideologi, kecenderungan, ketaksuban dan perkara luar biasa yang merupakan fasa permulaan yang mempengaruhi kepada perbuatan untuk melakukan keganasan. Malah dari sudut Islam sesuatu perbuatan bermula dengan niat.
“Dari Amirul Mukminin Abu Hafsh, Umar bin Al-Khattab RA, ia berkata : “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal itu bergantung pada niatnya, dan setiap orang hanya mendapatkan apa yang diniatnya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya itu kerana kesenangan dunia atau kerana seorang wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ditujunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut Imam Al-Shafie r.a dan Imam Ahmad bin Hanbal r.a menjelaskan sesungguhnya setiap perbuatan dengan niat sepertiga pengetahuan, dan keistimewaan seseorang hamba adalah melalui hati, lidah dan anggota badannya. Maka, niat di dalam hati merupakan salah satu daripada tiga bahagian. Di sini dapat disimpulkan niat merupakan tujuan hati atau gerak hati untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau perkara. Justeru, sekiranya individu memiliki niat yang baik, maka baiklah amalannya namun jika rosak niatnya, maka rosaklah amalan tersebut. Sabda Rasulullah SAW.
“Ketahuilah dalam diri manusia ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah jasadnya. Dan apabila rosak, maka rosaklah jasadnya keseluruhannya itu, ketahuilah iaitu hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini bermaksud untuk menjadi ekstremisme ia adalah hasil daripada nurani, minda, fahaman dan ajaran. Apa itu radikalisme? Secara umumnya definisi radikalisme yang diutarakan sama dari dalam dan luar negara lebih mengaitkan dengan kesanggupan dan kesungguhan untuk melakukan tindakan atau perbuatan (willing to do). Walaupun terdapat pendapat yang meletakan radikalisme sebagai permulaan untuk menjadi ekstremis, namun persoalannya mengapa seseorang atau kumpulan itu radikal? Golongan ekstremis telah memiliki elemen nurani, minda, fahaman, ideologi dan ajaran sebagai asas yang mempengaruhi seseorang atau kumpulan untuk melakukan tindakan.

Insiden di Christchurch pada tahun 2019 membongkar kegiatan keganasan oleh puak haluan kanan di peringkat global.
Walau bagaimanapun tidak semua golongan ekstremis bersedia untuk melakukan sesuatu perbuatan ganas kemungkinan jumlah yang bersedia melakukan keganasan adalah kecil daripada golongan ekstremis. Sebagai contoh adakah semua mereka 100% yang mendapat pendidikan ekstremis di pusat penyebaran ekstremis seperti di Timur Tengah, Pakistan, India dan sebagainya bersedia melakukan keganasan? Mengapa hanya sebilangan kecil seperti 1-30% sahaja daripada keseluruhan yang mendapat pendidikan ekstremis melakukan keganasan? Ini bermaksud hanya sebilangan kecil golongan yang mendapat pendidikan ekstrem sahaja mempunyai elemen radikal iaitu bersedia melakukan keganasan (willing to do).
Bagaimana radikalisme ini menjadi tahap kedua selepas ekstremis? Ini kerana golongan individu atau kumpulan yang berada dalam kelompok radikalisme ini telah pun mendapat pendidikan ekstremis dan memiliki beberapa kriteria termasuk sasaran dalam membuktikan mereka bersedia melakukan keganasan seperti mana yang diajar dan ditanam dalam pendidikan ekstremis. Sebagai contoh ajaran ekstremis menyeru menyerang Amerika Syarikat namun tidak menyatakan sasaran hanya nama negara AS. Maka golongan radikal ini telah menetapkan sasaran mengikut kemampuan mereka seperti Pejabat Kedutaan AS, menculik atau membunuh pelancong AS dan sebagainya dan apabila mereka melakukan keganasan golongan ini tidak lagi sebagai radikal sebaliknya pengganas.

“Proud Boys” merupakan kumpulan ekstremis berpangkalan di Amerika Syarikat yang diisytiharkan sebagai pengganas oleh Kanada.
Berdasarkan kajian yang dijalankan pihak berkuasa kini memiliki kaedah yang lebih mudah dan tepat dalam menganalisis potensi ancaman pengganas berdasarkan asas pembentukan seseorang menjadi pengganas. Di sini menunjukan pihak berkuasa dapat mengenal pasti dan memberikan fokus yang lebih tepat khususnya memfokuskan kepada golongan radikal sebagai golongan yang berpotensi melakukan keganasan.
Sebelum ini agak sukar bagi pihak berkuasa untuk memantau dan mengawasi golongan ekstremis dan radikal kerana jumlah yang besar. Namun dengan kaedah ini ia akan membantu pihak berkuasa mengenal pasti “focus group” iaitu daripada ribuan orang yang mendapat pendidikan ekstrimis hanya golongan radikal saja yang perlu pemantauan dan pengawasan.
Malah dalam tahap radikal ini juga pihak berkuasa juga dapat membuat klasifikasi berdasarkan kriteria tertentu dalam mengukur kecenderungan, maklumat, jaringan, pergerakan dan sasaran yang akan dilakukan.
Penulis merupakan pelajar PHD Pengajian Strategic Graduate Shafie Graduate School of Government (GSGSG) College of Law, Government and International Studies Universiti Utara Malaysia
