Dalam filem The Hunger Games, tanda tiga jari lurus dengan ibu jari di atas jari kelingking menjadi simbol penentangan terhadap sistem yang mengawal kehidupan mereka. Tanda ini kemudiannya digunakan sebagai simbol kebangkitan rakyat Thailand terhadap Raja Thailand.
Simbol ini kemudiannya digunakan oleh kumpulan aktivis ‘pelajar’ UMANY yang menyatakan solidariti mereka dengan gerakan penentang di Thailand.
Tanda kurungan pada perkataan ‘pelajar’ kerana salah seorang pendukung kumpulan tersebut telahpun tamat pengajian tahun lepas dan cuba menggunakan simbol ‘Wakanda’ semasa upacara konvokesyen di sebuah universiti tempatan.
Tetapi, apakah simbol ini betul-betul berasal dari filem The Hunger Games?

Tanda 3 jari menjadi simbolik kumpulan penentang di Thailand.
Hakikatnya, simbol ini pada asalnya digunakan oleh Pertubuhan Pengakap di seluruh dunia sebagai tanda tabik hormat dan untuk angkat sumpah. Simbol ini juga digunakan oleh Pertubuhan Pandu Puteri.
Pandu Puteri adalah pertubuhan hasil legasi perpecahan yang terpaksa dibuat bagi mengambil hati puak cauvinis lelaki di era 1910-an. Golongan ini tidak gembira melihat anak-anak perempuan terlibat sama dalam aktiviti pengakap yang ditubuhkan oleh Sir Robert Stephenson Smyth Baden-Powell.

Simbol 3 jari sebenarnya bukan berasal dari The Hunger Games.
Bagi seorang pengakap, susunan jari ini membawa maksud yang lain.
Yakni, tiga jari di tengah yang lurus membawa maksud ingatan kepada Sumpah Pengakap yang berbunyi seperti berikut.
“Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia bahawa saya dengan seberapa daya upaya saya akan:
- Taat kepada Tuhan, Raja dan Negara.
- Menolong orang pada setiap masa.
- Menurut Undang-undang Pengakap.”
Ikrar yang pertama itu sendiri mengingatkan seseorang pengakap agar sentiasa taat kepada Tuhan, Raja dan Negara.
Namun kita lihat mereka yang memilih menggunakan lambang ini dengan semberono menuduh Raja kita, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mencampuri hal ehwal pentadbiran negara, yakni sebuah pentadbiran yang mana ditulis dengan jelas kata-kata Urusan Seri Paduka Baginda pada sampul surat yang digunakan untuk tujuan surat-menyurat.
Sedangkan mereka adalah warganegara Malaysia yang tanpa segan silu cuba mencampuri hal ehwal jiran tetangga kita di Thailand.
Menariknya, mereka telah memohon maaf kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan berbahasa Melayu dan Inggeris. Tetapi dalam kenyataan berbahasa Mandarin pula, menegaskan bahawa mereka akan terus menegakkan “keadilan” menentang kerajaan yang dituduh bersifat autokratik dan ingin memusnahkan masa depan para pelajar.

Kenyataan permohonan maaf UMANY yang dimuatnaik pada dua laman dengan menggunakan bahasa berbeza.
Kerajaan mana yang mereka tuduh sedemikian rupa? Sudah tentu ia adalaha Kerajaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Melihat beberapa pertubuhan ‘pelajar’ tiba-tiba muncul menyokong kumpulan ini, mengingatkan saya akan corak penyusupan bawah tanah yang pernah berlaku di negara kita.
Suatu ketika dahulu, terdapat 289 buah kesatuan pekerja wujud di seluruh Tanah Melayu sebelum 6 Jun 1948.
Pada awal 1949, hanya 162 kesatuan pekerja yang kekal wujud manakala 127 daripada pertubuhan pekerja ini telah lenyap dan diharamkan, dengan pengasas mereka menghilangkan diri. Saya rasa tidak perlu saya mengulas lanjut kenapa tarikh 6 Jun itu disebut.
Tidak lupa juga dengan laporan yang disediakan ke atas siasatan mengenai penyusupan elemen komunis ke dalam Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Malaya yang dikeluarkan pada tahun 1974.
Kepada Yang di-Pertuan Agong, taat setia kita dicurahkan.
Danny Liew merupakan penulis blog The Malaysian Patriot dan buku Malaysia Military Power.
PENAFIAN:
Air Times News Network tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab mana-mana pemilik akaun sendiri. Terima kasih.